Dr. Maszlee Malik

Latar Belakang

Dr. Maszlee Malik dilahirkan di Johor Bahru. Beliau telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman (STAR) (2) dan kemudiannya ke Maktab Sultan Abu Bakar (English College). Pada tahun 1989, beliau telah menyertai Madrasah al-Quran Waddin dan kemudiannya ke Maahad Johor. Setelah itu permusafiran ilmunya dilanjutkan ke Jordan sehingga berjaya mendapatkan ijazah sarjana muda dari Universiti Al al- Bayt, Jordan dan kemudiannya meneruskan pengajian peringkat ijazah sarjana di Universiti Malaya. Kedua- duanya dalam bidang Fiqh dan Usul al-Fiqh. Dengan izin Allah, Maszlee Malik telah melanjutkan pelajaran di School of Governments and International Affairs (SGIA) di University of Durham pada tahun 2007 dan mendapat ijazah kedoktoran dalam bidang Good Governance pada tahun 2011. Kini Maszlee Malik merupakan pensyarah kanan di Jabatan Fiqh dan Usul al-Fiqh di Kuliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau telah berkhidmat di sana semenjak tahun 2000. Maszlee Malik juga merupakan ahli Multaqa Asatizah dan Du’at (MURSHID), ahli Dewan Perwakilan Nasional Pertubuhan IKRAM Malaysia, dan penasihat ahli lembaga kepada beberapa NGO dan badan pendidikan seperti Teaching for the Needs (TFTN), Pusat Pendidikan Downsyndrome Orkids (ORKIDS), Pertubuhan Darul Fitrah, IDEAS Autism Centre, Lembaga Pusat Pendidikan al-Amin dan juga penaung kepada Kelab Penyokong Kelab Bola Sepak Manchester City Malaysia. Di media pula, Maszlee lebih dikenali sebagai moderator debat dan wacana politik serta penganalisis politik Timur Tengah, pemikiran politik Islam dan juga gerakan Islam kontemporari.