Imam Ibn Al Dayba'

Latar Belakang

Beliau adalah seorang guru besar hadith di Yaman: Imam al-Hafiz ‘Abdul Rahman bin ‘Ali bin Muhammad bin ‘Umar, yang terkenal dengan gelaran Ibn Dayba’. Beliau juga seorang murid Syamsuddin al-Sakhawi (m.902 H), iaitu murid kanan Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani (m.852) di Mesir. Keilmuan beliau bahkan pernah dipuji oleh gurunya ini. Sebelum Ibn al-Dayba’, topik yang diperbahaskan dalam buku ini pernah dibincangkan oleh Imam al-Mundhiri (m.656 H) dalam Juz Ghufran ma Taqaddama wa ma Taakhar. Karya Ibn Dayba’ seolah-olah menghimpun perbahasan kedua-dua imam ini dalam satu buku. Selain menghimpun hadith-hadith Nabi, buku ini turut menyertakan nukilan ucapan tokoh-tokoh tasawuf terkenal. Ibn al-Dayba‘ sangat sering menukil daripada al-Junayd al-Baghdadi (m. 297 H), Zun Nun al-Misri (m. 246), Abu al-Qasim al-Qusyairi (m. 465 H), dan lain-lain. Beliau turut menyertakan hikayat dan kisah yang membuat buku ini semakin menarik dan sedap dinikmati.