Imam Ibnu Rajab Al Hanbali

Latar Belakang

IBNU RAJAB AL-HANBALI. Nama sebenarnya ialah ‘Abdurrahman bin Ahmad bin Rajab ‘Abdurrahman bin al Hasan bin Muhammad bin Abu al-Barakat Mas‘ud al-Salami al-Baghdadi al-Dimasyqi. Gelarannya ialah Abu al-Faraj Zainuddin. Manakala Rajab ialah gelaran kepada datuknya, ‘Abdurrahman yang dilahirkan pada bulan Rejab, kemudian gelaran ini terus diwarisi kepada keturunannya. Tokoh bermazhab Hanbali ini dilahirkan di Baghdad pada bulan Rabiulawal, tahun 736H dalam sebuah keluarga yang memberi penekanan tentang ilmu dan ibadah. Datuknya terkenal dalam kalangan para sejarawan sebagai seorang syeikh, imam dan muhaddits, serta mempunyai majlis periwayatan hadis di Baghdad. Begitu juga dengan bapanya, seorang tokoh dalam pelbagai lapangan ilmu Islam seperti al-Quran dan hadis, serta selalu terlibat dalam banyak majlis periwayatan hadis di Damsyik. Bapanya jugalah yang membawa beliau datang ke Damsyik pada tahun 744H untuk menuntut pelbagai bidang ilmu dan memberi galakan ke arah mendalami ilmu hadis.