Datuk Dr Hj Zahazan Mohamed

Latar Belakang

Berasal dari Pantai Kundur, Tanjung Kling, Melaka. Mendapat pendidikan awal di Sek. Keb. Kg Gelam sebelum melanjutkan pelajaran di Sek. Men. Keb. Agama Sultan Muhammad, Melaka seterusnya memasuki Kolej Islam Klang pada tahun 1990. Beliau melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab di Universiti Yarmouk, Jordan. Seterusnya mendapat Ijazah Sarjana (MA) dan Doktor Falsafah (PhD.) Linguistik dari Universiti Malaya.

Mempunyai pengalaman sebagai pensyarah selama lebih kurang 10 tahun di Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia. Berpengalaman dalam memimpin kursus haji dan umrah dan seterusnya menjadi pembimbing jemaah haji dan umrah ke tanah suci Mekah yang bertauliah dari Lembaga Urusan Tabung Haji Malaysia. Beliau aktif dalam penulisan buku-buku ilmiah dibawah syarikat Telaga Biru Sdn. Bhd. Antara buku-buku hasil penulisan beliau adalah seperti 101 Hadis-hadis Sahih, 101 Doa Para Nabi & Rasul, Anakku Hebat Anakku Soleh, Hadis 40 Imam Nawawi, 101 Rekreasi Hati dan lain-lain lagi. Beliau juga menjadi kolumnis dalam akhbar Berita Harian, Utusan Malaysia dan majalah-majalah seperti Solusi, al-Ustaz, Gen Q dan sebagainya.

Beliau sering dijemput memenuhi program ceramah dan kuliah agama termasuklah di program- program TV seperti dalam segmen Tanyalah Ustaz, Motivasi Pagi, Al-Kulliyah, dan Jejak Rasul. Beliau juga pernah menjadi penyampai tetap segmen Kuliyah Tafsir di radio IKIM.fm selama lebih kurang 8 tahun. Sekarang beliau menjadi penyampai bagi segmen Asbabul Nuzul di Nasional fm dan Pesan Taqwa di Pahang fm.

Kini menjawat jawatan Pengarah Urusan di Telaga Biru Sdn Bhd. Beliau juga menjadi ahli Lembaga Pengarah bagi Telaga Biru Holdings Sdn Bhd, Telaga Biru Sdn Bhd, Telaga Biru Properties Sdn Bhd serta Penasihat Syariah bagi StormReaders Networks Sdn Bhd.

Beliau telah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Melaka bagi tahun 2014. Baru-baru ini beliau dikurniakan Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) pada November 2015 dan membawa gelaran Datuk.

Buku-buku Datuk Dr Hj Zahazan Mohamed