Tahajud Terapi Diri
RM9.00
Tiada Stok

Nombor Isu:

34

Tarikh Terbit:

Feb, 2015

Jumlah Muka Surat:

112

Harga:

RM9.00

Sinopsis

Tahajud. Itulah topik perbincangan pada kali ini. Ia adalah rutin harian Rasulullah dan para sahabat yang menjadi rahsia kejayaan mereka di dunia dan akhirat.

Kegemilangan umat Islam terdahulu bukan terletak pada kecerdasan mereka sahaja. Bukan juga pada ketegapan tubuh dan kekuatan fizikal semata­mata. Sebaliknya rahsia utama kejayaan ulung mereka bertunjangkan kedekatan jiwa mereka kepada Allah.

Tanpa sokongan dan pertolongan Allah, umat Islam tidak akan berjaya mencipta kegemilangan. Kita amat memerlukan pertolongan Allah terutamanya dalam situasi umat hari ini. Sesiapa yang memperhatikan pelbagai peristiwa yang berlaku pada umat Islam saat ini pasti melihat bahawa kita sedang mengharungi cabaran yang maha berat.

Tiada yang dapat membantu kita menghadapi cabaran ini melainkan Allah. Sayangnya, kita selalu membelakangkan Allah. Kita hanya bergantung kepada kecerdasan dan kemampuan kita yang terbatas. Dan angkuh pula untuk berdoa kepada Allah pada saat­saat mustajab.

Ketika Allah memanggil kita pada pertengahan malam dan membuka tangan­ Nya untuk menerima taubat, kita terus lena tidur dalam kehangatan selimut. Bagaimana mungkin seorang pemuda yang tidak mampu menguak sehelai selimut untuk sujud kepada Allah, mampu membela agamanya dan membantu umatnya?

Justeru, mari kita hidupkan kembali budaya tahajud agar umat kembali bangkit!

Ustaz Umar Muhammad Noor

Isu-isu bulan ini

Fahami Tahajud

Suatu ketika dahulu, umat Islam pernah menjadi bangsa yang disegani dan membina tamadun yang dikagumi. Kekuasaan mereka meliputi lebih sepertiga bumi. Antara rahsia utama kejayaan itu adalah ketekunan mereka beribadah dan bermunajat pada tengah malam. Umat Islam pada hari ini tidak hanya boleh berbangga dengan sejarah gemilang itu. Malah mereka boleh mengulangi masa-masa kegemilangan itu jika mereka menghidupkan kembali kebiasaan ibadah generasi terdahulu. Tetapi sebelum itu, mari kita fahami terlebih dahulu beberapa perkara asas mengenai tahajud.

Bertahajud Seperti Nabi

Rasulullah bersabda: “Tuhan kita turun apabila berbaki satu pertiga malam terakhir, lalu berfirman: ‘Sesiapa yang hendak berdoa kepada-Ku, Aku akan mengabulkan doanya. Sesiapa yang hendak meminta kepada-Ku, Aku akan memberinya. Dan sesiapa yang meminta ampun kepada-Ku, Aku akan mengampuninya’.” (Riwayat al-Bukhari)

Ingin Istiqamah Tetapi...

Rasulullah bersabda: “Lakukanlah amalan mengikut kemampuan. Sesungguhnya Allah tidak akan jemu sehingga engkau jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah yang paling berterusan meskipun sedikit.” (Riwayat al-Bukhari) 
Justeru lakukanlah tahajud mengikut kemampuan saudara. Dua rakaat yang rutin dilakukan setiap malam lebih baik berbanding seratus rakaat yang dilakukan hanya sekali seumur hidup.

10 Tip Mudah Bangun Malam

Solat malam ialah ibadah elit yang direzekikan kepada manusia pilihan sebagai pelengkap ibadah wajib. Walaupun elit, ia sebenarnya mampu dilakukan oleh semua Muslim asalkan sanggup bermujahadah. Ini adalah sebahagian tips yang penting untuk diamalkan agar kita berjaya menjadi Muslim pilihan untuk bermunajat dengan Penciptanya pada waktu eksklusif itu.