Beginilah Jalan Mengenal Allah

Nombor Isu:

44

Tarikh Terbit:

Dec, 2015

Jumlah Muka Surat:

112

Harga:

RM9.00

Sinopsis

Keinginan untuk mengenal Allah adalah tuntutan fitrah semulajadi manusia. Jiwa manusia akan terus dalam kehausan selagi belum mengenali Tuhan. Hidup akan terasa kosong selagi belum mendapatkannya. Tujuan utama kewujudan mendapatkannya. Tujuan utama kewujudan manusia ialah untuk mengenal Allah.

Kedamaian akan berasa di hati sejurus mengenali Allah. Kedamaian itu lebih lazat berbanding segelas air sejuk di tengah padang pasir yang sangat panas. Sufyan bin ‘Uyainah berkata: “Tiada nikmat yang lebih besar daripada kalimat tauhid La ilaha illallah. Kalimat ini di akhirat ibarat air sejuk di dunia.”

Namun iblis tidak pernah duduk diam. Iblis membenci melihat manusia kembali kepada Tuhan. Justeru pelbagai cara dilakukan untuk memalingkan hati manusia daripada Penciptanya sama ada dengan hiburan yang melalaikan, permainan yang melekakan, dan pekerjaan yang menyibukkan.

Allah berfirman dalam sebuah hadis kudsi: “Sesungguhnya Aku telah menciptakan semua hamba-Ku cenderung kepada kebenaran (hunafa). Namun syaitan mendatangi dan menjauhkan mereka daripada agama. Mereka mengharamkan apa yang Aku halalkan dan menyuruh mereka untuk menyekutukan diri-Ku dengan sesuatu yang tidak berkuasa apa-apa.” (Riwayat Muslim)

Antara salah satu kewajiban ahli agama ialah membuka jalan kembali kepada Allah iaitu dengan cara memperkenalkan Allah, mengingatkan nikmat dan anugerah- Nya kepada kita, di samping menunjukkan jalan bertaubat kepada-Nya. Semoga majalah al-Ustaz kali ini dapat melaksanakan tugasan tersebut. Wallahu a’lam.

Ustaz Umar Muhammad Noor

Isu-isu bulan ini

Hidup Tidak Bertuhan

Iman merupakan salah satu nikmat terbesar. Sejak kecil kita telah menyembah Allah dan menyebut nama-Nya setiap saat. Ramai dalam kalangan manusia masih tidak mendapatkan nikmat ini. Mereka masih jahil tentang tuhan dan hidup tanpa aturan. Sebagai tanda mensyukuri nikmat iman, mari kita mantapkan pengenalan diri mengenai Allah Tuhan alam semesta.

Jalan Mengenal Tuhan

Mari mengkaji firman Allah: “Dan salah satu tanda-tandaNya ialah penciptaan langit dan bumi, perbezaan bahasa dan warnamu. Sesungguhnya dalam perkara itu terkandung tanda-tanda bagi orang yang berilmu.” (Surah Rum: 22)

Indahnya Bersama Allah

Sungguh indah ke­ hidupan insan yang hidup bersama Allah. Hidupnya penuh dengan kepuasan. Setiap musibah dihadapi dengan keredaan bahkan setiap cabaran pula dilalui dengan ketenangan. Allah selalu hadir di hatinya dan membimbing setiap langkahnya.

Menghayati Sifat Wajib Bagi Tuhan

Berikut merupakan beberapa sifat wajib bagi Tuhan secara ringkas. Sekiranya Tuhan tidak bersifat demikian, maka hukum akal tidak dapat menerima bahawa ia adalah Tuhan.