Syariah Itulah Kehidupan

Nombor Isu:

58

Tarikh Terbit:

Feb, 2017

Jumlah Muka Surat:

112

Harga:

RM9.00

Sinopsis

Allah dalam kalam-Nya yang indah memberitahu:

“Bagi tiap-tiap umat yang ada antara kamu, Kami jadikan suatu syariat dan jalan agama yang terang. Sekiranya Allah mengehendakinya nescaya Dia menjadikan kamu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak mengujimu (dalam menjalankan) apa-apa yang telah disampaikan kepada kamu.

“Oleh itu, berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan. Kepada Allah jualah kamu sekalian akan kembali, maka Dia akan memberitahu terhadap apa-apa yang kamu berselisihan mengenainya.”(Surah al-Maidah 5: 48)

Keindahan syariah islamiah tidak dapat dinafikan lagi oleh Muslim, bahkan golongan non Muslim. Pelaksana syariah dalam beberapa sektor kehidupan telah membuktikan syariah mempunyai empat sifat penting iaitu rahmat, maslahat, hikmah dan keadilan.

Sifat-sifat ini telah menjadikan kehidupan manusia pada hari ini berada dalam paksi yang teratur dan membahagiakan bukan sahaja di dunia, sebaliknya di akhirat kelak. Insya-Allah.

Justeru, Al-Ustaz kali ini tampil menerangkan kepada masyarakat berkenaan hakikat ini yang perlu difahami dan dihayati dengan lebih baik. Syariat bukanlah merumitkan seperti yang segelintir daripada kita sangka- sangka, syariat bukan hanya menyentuh soal agama, sebaliknya syariat menyentuh kepelbagaian tema bahkan keseluruhan aspek dalam kehidupan.

Isu-isu bulan ini

Indahnya Hidup Bersyariat

Syariah dan fiqah adalah dua perkara berbeza. Namun ramai orang keliru perbezaan antara kedua-duanya. Syariah ialah perkara dan urusan yang datang daripada Allah melalui Nabi. Contohnya solat lima waktu dan puasa Ramadan. Fiqah pula ialah ijtihad dan hasil pemikiran ulama terhadap nas-nas syarak. Misalnya, hukum membaca al-Fatihah dalam solat, iaitu sama ada fardu atau tidak. Begitu juga hukum niat ketika berwuduk, iaitu sama ada wajib atau tidak. Kesemua ini adalah ijtihad ulama yang dinamakan fiqah.

Beginilah Syariat Berperanan

Kita meyakini bahawa syariah Islam mengawal semua tindakan dan perbuatan mukallaf agar bertepatan dengan kehendak Allah dan Rasul. Perlu dijelaskan di sini, perniagaan pasar malam adalah perniagaan yang harus apabila memenuhi syarat-syarat seperti mendapat keizinan daripada pihak berkuasa atau penduduk, tidak melakukan perniagaan sehingga memudaratkan kawasan berdekatan dan menutup jalan sehingga menyebab- kan berlaku kesesakan atau gangguan pada laluan awam.

Syariat dan Perspektif Hidup

Akhlak syariah ialah etika-etika Islam yang wajib dimiliki oleh seseorang bagi melayakkan diri menjadi khalifah Allah. Ia seperti sifat amanah, tawaduk, jujur dan seumpama dengannya. Al-Asfahani dalam al-Zari’ah ila Makarim al-Syari’ah me- nyatakan bahawa orang yang tidak mem- punyai akhlak syariah tidak ubah seperti sebuah rumah yang besar tetapi dalamnya penuh dengan kekotoran.

Saya Ada 25 Jam Sehari

Tidak dapat disangkal, pengurusan masa yang lemah akan menyebabkan prestasi kerja kita turut lemah. Justeru, hakikatnya kita memang tiada masa untuk membuang masa atau melakukan perkara yang tidak produktif. Walau bagaimanapun, kita juga perlu akui bahawa kekurangan masa sememangnya menjadi sumber kekuatan dan pencapaian seseorang. Lantaran itu, semakin tinggi tahap kesibukan seseorang, semakin tinggi keperluan dirinya untuk mengurus diari kehidupan dengan lebih cekap.