Bahaya Fahaman Songsang

Nombor Isu:

62

Tarikh Terbit:

Jun, 2017

Jumlah Muka Surat:

112

Harga:

RM9.00

Sinopsis

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Nabi pembawa hidayah daripada kesesatan, ahli keluarga Baginda dan para sahabat.

Sesungguhnya ajaran dan fahaman sesat sangat merbahaya kepada umat Islam. Hal ini kerana ia mengaburkan mata orang ramai dengan nama dan perjuangan Islam dari luaran semata-mata tetapi di sebaliknya penuh dengan kepalsuan.

Imam al-Ghazali mengarang sebuah kitab yang bertajuk Al-Munqiz min al-Dalal untuk menerangkan kaedah-kaedah berhadapan dengan golongan-golongan yang menyeleweng pada zaman beliau.

Maka dengan nada yang sama, Al-Ustaz tampil menyumbang suluhan cahaya kepada masyarakat setelah majalah ini menjadi rujukan orang ramai untuk mengetahui pelbagai ilmu yang berkaitan dengan kehidupan seharian kita. Mudah-mudahan Allah menyelamatkan kita daripada kesilapan dan kesesatan.

Bersempena dengan kedatangan bulan yang dinanti; Ramadan pada tahun ini, pihak editorial mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat berpuasa buat semua pembaca. Semoga Ramadan kali ini menjadi pengalaman ibadah yang terindah buat kita. Insya-Allah.

Isu-isu bulan ini

Waspada Ajaran Sesat

Secara asasnya, agak sukar untuk mendefinisikan istilah ajaran sesat ini kerana setiap ajaran tersebut adalah berbeza dari segi sifat semula jadinya, upacara, latar belakang dan asal usulnya. Lantaran itu, para ulama dan ilmuwan berbeza pandangan dalam mendefinisikan istilah tersebut.

Analisa Tentang Gerakan Liberal

Antara definisi liberal adalah gerakan falsafah yang menjadikan idea sebagai kebebasan mutlak dalam pembentukan pemikiran dan tindakan. Fahaman atau gerakan ini juga tidak selari dengan manhaj ilmu dan disiplinnya serta bercanggah dengan kemuliaan agama dan nilai akhlak itu sendiri.

Fenomena Ajaran Sesat Di Malaysia

Fenomena ini seolah-olah kian memuncak dan menjadi kebimbangan utama sekali gus mengancam keharmonian masyarakat Islam di Malaysia. Berdasarkan perangkaan semasa, terdapat lebih daripada 30 ajaran sesat yang difatwakan menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar. Ke- banyakannya berselindung di sebalik pertubuhan tertentu sekali gus menyukarkan pihak berkuasa untuk mengesan aktiviti mereka.

Janji Presiden Ajaran Sesat Sedunia

"Asal bukan Islam!” Itulah janji atau slogan yang diperjuangkan oleh Presiden Ajaran Sesat Se- dunia. Dia akan melakukan apa-apa sahaja agar anak Adam tidak menemui lorong yang menghubungkan mereka kepada Islam. Allah mengingatkan kita bahawa iblis dan kabilahnya ialah musuh yang wajib diperangi. Memusuhi mereka membuahkan pahala kerana itu arahan Allah.