Bukan Susah Menjadi Solehah

Nombor Isu:

1

Tarikh Terbit:

Jun, 2015

Jumlah Muka Surat:

83

Harga:

RM6.50

Sinopsis

Cinta itu satu bentuk keikhlasan hati ketika memberikannya kepada yang dicintai. Cinta tidak boleh dibuat- buat atau dipaksa-dipaksa. Justeru, apabila telah cinta, dia rela memberikan apa sahaja dengan hati yang paling dalam. Kesungguhan dan pengorbanan terkandung dalam pembuktian cintanya.

Cinta boleh jadi luar biasa jika didasari dengan petunjuk Islam. Itulah cinta tahap tinggi, yang apabila cintanya teruji dia tidak tergugah. Dia memilih sama ada untuk bersabar atau bersyukur. Menariknya rantaian ini jika boleh difahami dan dirasai seterusnya diaplikasi.

Pertama, Allah pemilik segala cinta, maka rasa cinta itu diberikan kepada setiap manusia secara adil (daripada Allah). Justeru, tidak mustahil manusia yang buta sekalipun membina kehidupan dan diberikan rezeki oleh Allah disebabkan rasa cinta serta kasih Allah kepada makhluk-Nya.

Kedua, cinta yang subur dalam hati manusia sesama manusia perlu bertunjangkan syariat Islam (kerana Allah). Ketiga, cinta daripada Allah itu perlu ada timbal baliknya iaitu sentiasa mencintai dan mendahulukan Allah dalam setiap tindakan kita (kepada Allah).

Jika digambarkan secara visual, rantaian ini akan membentuk satu segi tiga yang sisinya berkait antara satu sama lain. Menerusi elemen dalam rantaian ini, kami mengadunkannya dalam majalah Demi Cinta. Kami cuba berkongsi bahan yang merupakan suara hati setiap ahli dalam keluarga. Ibu, ayah, anak, isteri, suami, menantu dan mentua serta anggota masyarakat. Kami kelaskan Demi Cinta dengan beberapa segmen tertentu untuk meraikan setiap ahli dalam keluarga.

Menarik dalam edisi pertama, kami bawakan isu Bukan Susah Menjadi Solehah. Salah satu keperluan bagi suami dan anak ialah memiliki isteri dan ibu yang baik. Maka inilah peluang bagi wanita untuk merangkul gelaran solehah.

Bagi yang masih bergelar ‘cik’, ada ibu dan ayah yang perlu disantuni sebelum membuktikan diri sebagai anak solehah. Peluang sudah terbuka luas, tinggal lagi untuk mengatur langkah.

Adat orang bercinta, pasti ada yang perlu dikorbankan. Buah fikiran perlu dikerah supaya Demi Cinta benar-benar berbeza dengan majalah terbitan Telaga Biru sedia ada. Solusi, al-Ustaz dan Gen-Q sudah mendahului. Demi Cinta mengikuti.

Menghasilkan yang pertama jauh lebih sukar berbanding meneruskan rentak majalah isu seterusnya. Namun, demi cinta dan kerana Demi Cinta, kami rela dan reda, insya-Allah.

Terimalah kado pertama kami sebagai iftitah. Harapan kami semoga kalian dapat terus bercinta dengan Demi Cinta... Selamat menelusuri mutiara ilmu, semoga niat menjadi solehah diredai Allah. Wassalam

NURUL AMIRAH ABDUL RAHIM

 

Isu-isu bulan ini

Bukan Susah Menjadi Solehah

Wanita solehah tetap berprinsip untuk menjaga maruah diri kerana itulah ciri-ciri wanita yang diberi penghormatan oleh allah untuk memilih yurga yang ingin dihuni. 

Penghalang Wanita ke Syurga

Ketika Allah menjanjikan tawaran syurga seluasnya buat wanita, bahkan syurga sendiri mendambakan wanita solehah, ada beberapa ingatan yang perlu dipandang serius. Hati-hati wahai Muslimah, ada perkara yang menjadi penghalang kita ke syurga.

Yang Didambakan Syurga

Wanita luar biasa adalah Muslimah yang punya tanda sebagai ahli syurga. Di bawah ialah sebahagian wanita hebat di samping Rasulullah. Jom Kenali Mereka!

Wanita Solehah Sebagai Madrasah

Wanita solehah ialah madrasah. Ada potensi untuk melahirkan generasi soleh dan solehah apabila terdidiknya seorang wanita. Tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia.