Kutunggu Kelahiranmu

Nombor Isu:

3

Tarikh Terbit:

Oct, 2015

Jumlah Muka Surat:

81

Harga:

RM6.50

Sinopsis

“TAHNIAH, puan hamil!”

Sama ada sudah bertahun menanti atau masih dalam mood ‘bulan madu’, kalimah ini berupaya mendatangkan kegembiraan kepada pasangan. Dahi dicecah ke lantai. Sujud tanda syukur. Alhamdulillah… Lalu setelah itu bermulalah kehidupan baharu sebagai bakal ibu dan ayah.

Sepanjang 9 bulan janin dalam kandungan, ibu menjaga pemakanan dan kesihatan. Rutin pemeriksaan di klinik kesihatan dipatuhi. Buku keibubapaan dibaca. Ayah pula mencukupkan keperluan ibu dan anak semampunya. Beli itu dan ini. Anak yang ingin disambut itu begitu ditunggu-tunggu. Tentulah persediaan penerimaannya bak raja.

Namun jangan dilupa tanggungjawab mengenalkan agama kepada anak. Bagaimana dia pada masa akan datang, mesti bermula sejak dia belum dilahirkan. Jika mengimpikan anak menjadi hafiz al-Quran, mana mungkin corak hidup ibu bapa seperti Qarun dan Firaun?

Justeru, bagaimana perlu bermula sementelah dia belum ada? Sudah tentulah dengan kehidupan ibu bapa terlebih dahulu. Apabila anak sudah biasa mendengar ibu membaca al-Quran, tidak mustahil anak juga suka membaca al-Quran.

Apabila ayah suka berdoa sepanjang ibu mengandungkan anaknya, anak juga terdidik menjadi baik seperti yang didoakan. Apabila suasana keluarga sentiasa baik, cakap yang baik-baik, bertindak dan berfikir yang baik- baik, maka yang baik juga terserap kepada anak dalam kandungan.

Sabda Rasulullah: “Semua anak yang dilahirkan itu suci bersih, maka didikan ibu bapanya menjadikan anak itu Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Riwayat Ahmad) Begitu pentingnya persiapan membina kekentalan imannya, sebelum nanti dia mendepani dunia yang penuh noda.

Akhir kalam, saya mendoakan semoga bakal ibu dan ayah dipermudahkan urusan persiapan menyambut si mata hati. Lantaran sibuk membuat persiapan fizikal dan mental, jangan terlupa untuk memenuhi keperluan anak dengan aspek rohani dan emosi.

Selamat membaca!

Nurul Amirah Abdul Rahim, Editor Demi Cinta

Isu-isu bulan ini

Datangmu Bersama Rezeki

Sebaik sahaja berlaku akad nikah yang sah, maka komitmen telah tergalas di atas bahu pasangan yang baru berkahwin. Malaikat mendoakan kebaikan dan rahmat Allah ke atas pasangan yang berkahwin. Ketika itu syaitan serta iblis begitu kecewa. Mereka adalah makhluk yang paling benci apabila berlaku satu hubungan yang halal.

10 Tanda Sokongan Suami Terhadap Isteri Hamil

Hadiah terbaik seorang bapa kepada anaknya ialah dengan mencintai ibu kepada anaknya, yakni isterinya sendiri. Mengapa? Kerana dari rahim wanita itulah lahir zuriat keturunannya. Jika suami memberikan layanan yang baik kepada isterinya, ini bermakna dia sedang bersedia untuk memberikan keperluan yang terbaik untuk anaknya. Wahai suami, apakah sokongan yang boleh diberikan buat isteri solehah yang hamil itu?

Nikmatnya Bersalin

“Apabila sudah mengambil keputusan untuk berumah tangga, perlu ada persediaan dengan mencari ilmu dan bersedia untuk mengandung dan melahirkan. Memasuki dunia kehamilan, yang penting adalah ilmu, doa dan tawakal. Doa pula berterusan sejak hari pertama berkahwin lagi.”

Dr. Norliza Ibrahim.

 

Selamatkah Tempat Tidur Bayi Anda

Bayi sepatutnya tidur di dalam katil khas yang diletakkan di dalam bilik ibu bapa, bukannya tidur bersama-sama ibu bapa atau adik-beradik yang lain atas katil yang sama.

Promo