Wilayah Selamat Anak Kita

Nombor Isu:

4

Tarikh Terbit:

Dec, 2015

Jumlah Muka Surat:

81

Harga:

RM6.50

Sinopsis

Perkahwinan ialah ikatan suci kerana dua hati disatukan dengan kalimah “kerana Allah”. Tahun demi tahun, bahtera perkahwinan yang diketuai oleh kapten kapal dan pembantu, semakin menambahkan muatan. Semakin ramai penumpang, bermakna semakin banyak ‘ragam’. Semakin perlunya nakhoda meningkatkan ilmu juga skil kepimpinan.
Pemimpin ertinya mendidik, melindungi, menyayangi, sanggup mengorbankan masa dan harta serta memahami. Inilah hakikatnya peranan ibu bapa. Menjadi ibu bapa bukanlah satu ‘title’ yang melayakkan diri angkuh dalam kebutaan hati. Bertindak sewenangnya tanpa kasih sayang kepada anak bukanlah cara orang beriman.
Menyedihkan tatkala dunia semakin maju, kisah haruan makan anak masih berlaku. Iman semakin nipis. Anak-anak hilang tempat mengadu. Didera ada, diabaikan juga tidak sedikit kes yang berlaku. Ironinya, jika anak ini dilahirkan dengan ikatan yang halal, “halal”kah anak itu untuk diperlakukan sebegitu? Sabda Rasulullah: “Sesiapa yang tidak menyayangi, maka dia tidak akan disayangi.” (Riwayat al- Bukhari) Amanah menjaga anak ini kadang diuji. Bukan sedikit yang tersungkur. Namun tidak sedikit juga yang mampu bangkit semula apabila agama dipasak kuat di dada. Berjayanya sesuatu tamadun bukanlah diukur dengan tingginya bangunan. Kita tidak mahu bangunan sahaja tinggi tetapi kesedaran agama dan kemanusiaan semakin “memendek”! 
Pembangunan juga tidak akan berterusan jika anak hari ini tidak dipersiapkan dan diberikan hak untuk membesar dengan baik. Ya, tidak salah dikatakan institusi kekeluargaan permulaan kepada pembangunan negara. Tidak salah juga dikatakan masyarakat yang peka membantu ke arah itu. 
Naluri untuk mencintai anak kecil ada dalam hati masing-masing. Kikiskanlah semula karat jahiliah yang sedang menempel di pintu hati. Jika dahulu apabila Islam tidak sampai pada hati si kafir Quraisy, anak perempuan ditanam hidup-hidup, adakah setelah agama sampai kepada setiap daripada kita keadaan yang masih serupa berlaku?
Anak-anak ini harus dibela. Ini bukan sahaja peranan ibu bapa bahkan
seluruh masyarakat tentunya. Wahai para ibu dan ayah serta pembaca, saya tinggalkan tulisan ini dengan hadis: “Bukan termasuk golongan kami orang yang tidak menyayangi anak kecil.” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

Nurul Amirah Abdul Rahim

Isu-isu bulan ini

Merotan Bukan Satu-Satunya Pilihan

Merotan bukan satu-satunya pilihan sesuatu yang buruk, gunakanlah pelbagai teknik komunikasi berkesan dalam menangani tingkah laku kanak-kanak. Memilih untuk merotan bermaksud kita gagal dalam komunikasi yang baik.

Muhasabah Life Event

Inilah sebahagian kes pengabaian bayi dan kanak- kanak yang berpunca daripada ibu bapa sendiri, bahkan masyarakat yang tidak cakna dengan persekitaran sekeliling. Ini kes yang kita tahu. Sudah pasti banyak lagi kes penderaan dan pengabaian bayi serta kanak-kanak yang tidak disebarkan melalui media.

Selamatkan Anak Kita

Tidak keterlaluan untuk saya katakan kes pengabaian, penderaan bahkan anak lari dari rumah kerana ibu bapa tidak menunaikan solat.

"Nabi Tidak Pernah Mengasari Kanak-Kanak"

Guru yang baik melaksanakan Islam secara syumul, menitikberatkan soal aurat, pemakanan, pergaulan, halal serta haram dan sebagainya. Hal ini termasuk aspek solat. Jika solatnya terjaga, maka urusan yang lain juga pasti terjaga.

Promo