Menantu Pilihan Mentua

Nombor Isu:

5

Tarikh Terbit:

Feb, 2016

Jumlah Muka Surat:

81

Harga:

RM6.50

Sinopsis

Seseorang bercerita, dia pernah bertanya kepada ibunya: "Ibu bagaimana yang dikatakan rezeki bertambah selepas berkahwin?" Ibu menjawab: "Apabila berkahwin, kita akan memasak lebih daripada semasa bujang. Begitu juga, dahulu kita menyewa bilik, tetapi apabila sudah berkahwin kita menyewa atau membeli sebuah rumah. Pinggan, cawan, bantal yang dahulunya satu sudah menjadi dua. Benarkan semuanya bertambah?”

Walaupun ia hanya jawapan daripada ibu tua yang tidak berpelajaran tinggi, tetapi cakap itu ada betulnya juga. Jika difikir, ya, segala-galanya bertambah apabila sudah berkahwin, termasuk juga menambah bilangan ahli keluarga.

Jika dahulu hanya ada seorang ibu, setelah berkahwin sudah punya ibu mentua. Begitu juga ayah mentua dan ahli keluarga yang lain. Pertambahan itulah rezeki.

Rezeki maknanya begitu luas, bukan tertakluk kepada wang ringgit semata-mata. Jika keluarga semakin membesar, bermakna ruang untuk bersilaturahim juga lebih luas. Ada hadis sahih yang menyokong, jika ingin murah rezeki... hubungkan silaturahim!

Namun begitu, masih ramai yang mengeluh dengan kehadiran orang baharu sejurus selepas bertukar status. Kononnya suami terpaksa membahagi kasih antara dia dengan ibu mentua.

Ada juga menantu berasa rimas dengan ibu si suami yang sering menegur perihal dia mengurus anaknya, mengemas rumah dan melayan suami. Setiap perkara yang dibuat jadi serba tidak kena.

Ironinya, jika sudah menerima mereka sebagai ‘rezeki’, mengapa tidak menerima ibu mentua sebagai tempat untuk belajar tentang pengalaman hidup?

Tidak dinafikan, ada yang menjadi kesayangan mentua kerana dialah pilihan keluarga. Namun tidak kurang yang sedang berusaha jiwa dan raga untuk menjadi menantu pilihan yang niatnya hanya kerana Allah.

Walau apapun alasannya, menerima suami bermaksud menerima keseluruhan keluarganya sebagai keluarga sendiri. Andainya timbul perbalahan akibat perbezaan pendapat dengan mentua, turunkan ego, berbincanglah secara baik kerana dia pemegang 'kunci' syurga suami. Reda Allah terletak pada keredaan ibunya.

Atas persoalan itu dan konflik yang berlaku dalam kalangan masyarakat melibatkan menantu mentua, Demi Cinta terpanggil untuk mengupas berkisar tentang ini. Konflik yang berlaku dalam rumah tangga melibatkan menantu - mentua kami cuba uraikan dengan mengambil pandangan mereka yang pakar dalam perihal ini dengan bahasa yang mudah. 

Semoga setiap pasangan bukan hanya sibuk merancang urusan walimah semata-mata, bahkan kehidupan berkeluarga besar yang akan ditempuhi selepas itu.

Harapan kami, andai ribut yang melanda melibatkan keluarga, tenanglah dalam menghadapinya kerana Allah sentiasa bersama kita.

Jemput membaca dengan jiwa yang tenang.

Selamat membaca!

 

 

Isu-isu bulan ini

Ragam Hidup Berkeluarga

Mentua akan menyayangi jika kita ringan tangan untuk membantu walaupun itu bukan tugas kita. Lebih banyak kita memberi, lagi banyak kita menerima.

8 Cara Murah Isteri Tambat Hati Mentua

Mentua bukanlah orang asing kepada seseorang yang bergelar menantu. Bahkan darjatnya sama seperti ibu dan ayah sendiri. Sebagaimana kita menghormati kedua-dua ibu bapa kita, begitulah juga kita menghormati ibu bapa mentua.

Menantu yang Didamba Mentua

Suami yang hebat ialah suami yang boleh memimpin isterinya dan isteri boleh menerima kepimpinannya dengan baik. Penting bagi suami mempunyai kemahiran memimpin dan menasihati kerana suami merupakan ketua keluarga.

7 Tip & Trik Menerima Kunjungan Mentua yang Datang Mengejut

Satu perkara yang membuat menantu kecut perut adalah ketika mentua ingin datang ke rumahnya. Fikir dia, mentua akan menilai setiap inci rumahnya. Walaupun niat asal ibu mentua bukanlah untuk mencari kesalah menantu, tetapi sebagai menantu, kita pasti ingin menunjukkan perkara yang baik kepada mentua.