Dua Yang Tiada Ganti

Nombor Isu:

6

Tarikh Terbit:

Apr, 2016

Jumlah Muka Surat:

81

Harga:

RM6.50

Sinopsis

Naluri hati ibu yang murni sungguh menggigit emosi. Jika anak sakit, ibu boleh berjaga malam sehingga tidak cukup tidur. Apabila ibu pula yang sakit, dia masih bertanggungjawab dengan rutinnya. Tanggungjawab menyediakan makan, minum dan pakai untuk suami dan anak dilunaskan seperti biasa. Sebenarnya ibu ini sakit atau tidak?

Menyingkap rutin harian ayah pula, dia bangun awal pagi sebelum subuh lagi. Selesai mengurus diri, ayah meredah gelap pagi untuk bersolat di surau. Rutin biasa, dia akan singgah dahulu ke sekolah menghantar anaknya sebelum ke tempat kerja.

Tidak lupa, dihulurkan not berwarna setiap seorang. Harapannya tinggi agar si anak dapat belajar rajin-rajin. Membanggakan ibu dan ayah. Perkara itu berlanjutan sehingga anak-anak tamat persekolahan.

Sementara anak pula menganggap itu adalah perkara biasa setiap hari yang mesti berlaku, yang mesti ibu dan ayah lunaskan!

Anak tidak tahu bagaimana ibunya berkorban “me time” untuk dia. Bukan mahu berjumpa dengan kawan-kawan, mahu makan dengan tenteram tanpa gangguan pun jarang berkesempatan.

Anak tidak sedar betapa ayah membanting tulang empat kerat membesarkan anak-anaknya. Keadaan ekonomi keluarga yang ahlinya semakin bertambah menambah beban fikiran ayah.

Sehinggakan tidur malamnya tidak lena... di manalah mahu dicari lagi sumber pendapatan. Sementelah adik-beradik lain semakin membesar, masuk universiti dan sebagainya belanja semakin kasar.

Meruntun hati apabila anak-anak sudah besar, jasa ibu dan ayah yang dahulu seolah dinafikan. Dengan mudah anak merobek hati ibu apabila tidak dapat membaca kehendaknya. Si ayah yang semakin berusia memendam perasaan sahaja. Seperti biasa ayah tidak banyak bicara, namun ayah tetap punya perasaan. Tergoresnya hati ayah, mungkin kita tidak sedar.

Usia yang semakin berkurang, mereka menghitung hari-hari tua. Memainkan semula rakaman cerita lama dalam pita rakaman yang masih belum berkarat. Semua itu menjadi permainan saat anak-anak sudah tidak ada untuk "bermain" sekali.

Ibu dan ayah tidak selamanya ada untuk kita. Bukan kerana insan itu tidak mahu. Tetapi kerana hidupnya bukan dalam perkiraan dia. Ibu dan ayah hanya boleh meninggalkan kenangan manis untuk kita sekalipun itu sebenarnya daripada kesusahan dia.

Tiada siapa yang boleh menggantikan mereka. Berapa lama si anak boleh merasai kasih sayang ibu ayah yang satu itu? Tidak lama, pasti.

Justeru, Demi Cinta kali ini tampil sebagai platform muhasabah diri. Andai ibu dan ayah masih ada, bersegera dan bersedialah menjadi anak soleh solehah untuk mereka. Ya, selagi masih ada tangan yang sudi menghulurkan kasih sayang untuk kita... sebelum nanti kita hanya mampu mengingati insan-insan yang tiada pengganti!

Isu-isu bulan ini

Jangan Sampai Hati Terluka

Berhati-hatilah wahai anak-anak, jangan biarkan hati ibu atau bapamu terluka. Isu penderhakaan bukan sahaja berkaitan dengan soal halal haram, tetapi lebih penting ia melibatkan soal iman, kasih sayang, pengorbanan, pembersihan hati dan amal soleh.

Seorang Ibu

Ibu mengandungkan, melahirkan dan menyusukan. Tiga perkara ini tidak boleh dilupakan dan ditandingi. Itulah pengorbanan asas seorang ibu yang tidak boleh diganti dengan orang lain

10 Bukti Ibu Ayah Tiada Pengganti

Ayah tidak pandai menyusun kata, bahasanya tidak berima, hanya senada. Ibu pula kelihatan membebel, namun tersirat pesan dan amanat. Namun matlamat mereka sepakat, mereka sebenarnya sedang berada di sisi anak; sedia mendengar dan menghulurkan bantuan.

Seorang Ayah

Seorang yang keras, kuat kemahuan juga berani. Itu perwatakan ayah saya.