Kalau Sayang Tinggal Tinggalkan

Nombor Isu:

7

Tarikh Terbit:

Jun, 2016

Jumlah Muka Surat:

81

Harga:

RM6.50

Sinopsis

Salah satu matlamat perkahwinan adalah memberikan rasa tenang kepada pasangan suami isteri. Ketenangan itu lahir daripada banyak keadaan, antaranya apabila rasa diri dijaga, sama ada dari sudut fizikal bahkan emosi.

Dekat terasa selamat. Ada orang yang memberi perlindungan, ada tempat untuk memulihkan emosi. Jika sakit ada yang menjaga, jika susah ada yang meringankan. Justeru, jika berkahwin tetapi berjauhan mampukah ketenangan itu hadir?

Perkahwinan jarak jauh atau istilah lain weekend wife, weekend husband tidak boleh dinafikan masa kini. Tuntutan hidup memerlukan suami dan isteri bahu-membahu untuk mencukupkan ekonomi keluarga.

Atas sebab itu, pasangan terpaksa berjauhan. Maka sudah tentu banyak yang perlu dilaburkan dan dikorbankan untuk tujuan itu. Terutamanya tentang hati dan perasaan. Rasa risau dengan orang tersayang, rasa gusar dengan kehidupan akan datang. Entah sampai bila perlu berjauhan meski sudah berkahwin.

Benarlah kata orang, cinta itu akan diuji. Kesetiaan, kejujuran dan semuanya perlu dibuktikan. Ujian berjauhan membuktikan sejauh mana cinta akan pasangan atau lebih tepat mencintai pasangan kerana Allah.

Ujian duduk berjauhan tidak sedikit yang sedang melaluinya. Dan tidak sedikit kisah yang boleh kita ambil iktibar daripadanya.

Mari kita selusuri dan sebatikan dalam diri kisah insan terdahulu yang sesuai dijadikan inspirasi seperti kisah Siti Hajar. Bayangkan situasi ditinggal suami di padang pasir, tanpa sebarang gajet komunikasi. Bukan hanya sendiri, bahkan dengan anak kecil yang belum mengerti apa-apa.

Hakikatnya, perpisahan itu pasti dalam dunia yang sementara. Kekuatan untuk hidup berjauhan sebenarnya lahir daripada yang menetapkan perpisahan itu berlaku. Andai itu takdir-Nya, maka kepada-Nya jua kita memohon hati yang tabah menghadapi hari- hari.

Bersabar dengan perpisahan yang sementara. Insya-Allah, di penghujungnya nanti ada sinar bahagia.

Isu-isu bulan ini

Sampai Bila Perlu Berjauhan?

Pasangan berjauhan memerlukan tahap kematangan yang tinggi. Jika terlalu kerap merajuk, pasangan pun akan rimas. Namun, apabila kematangan tinggi, secara automatik tahap kebergantungan diri, tawakal, keyakinan, ikhtiar di samping spiritual akan cemerlang.

Rupanya Wanita Itu Kuat

Wanita itu kuat. Kenyataan itu nampaknya berat sebelah? Bukan. Ini bukan menafikan hak dan taraf seorang lelaki sebagai pemimpin. Cuma mengambil kira beberapa perkara yang melihatkan bahawa kekuatan seorang wanita itu memang luar biasa. Lebih-lebih lagi apabila dia terpaksa berdikari tanpa suami.

 

Andai Berpisah Itu Ketentuannya

Memahami tugasan pasangan dan memperbanyakkan tolak ansur dalam pengurusan rumah tangga dan anak-anak. Saling berhubung dan berkomunikasi secara positif. Kemudahan teknologi hari ini seperti WhatsApp, Facebook dan macam-macam lagi sangat membantu.

Berjauhan Melahirkan Kerinduan

Anak, itu kekuatan saya apabila berjauhan dengan suami. Anak menjadi penghibur dan pengganti suami. Menjaga, mengajar dan bermain dengan mereka menyebabkan masa terisi. Sekurang- kurangnya tidak terasa suami tiada. Bukanlah beban apabila saya perlu mengurus anak sendirian. Bahkan saya seronok mahu memberikan yang terbaik kepada mereka.