Suami Seperti Muhammad S.A.W : Beginilah Imam Keluarga

Nombor Isu:

8

Tarikh Terbit:

Aug, 2016

Jumlah Muka Surat:

80

Harga:

RM6.50

Sinopsis

Kisah Khalid al-Walid begitu dekat dengan jiwa saya ketika berfikir tentang tajuk Demi Cinta kali ini. Khalid al-Walid sudah beberapa kali mendapatkan kemenangan buat tentera Islam. Tidak pernah daripada perang yang diketuainya, dia mengecewakan umat Islam. Semuanya menang. Sudah pasti dengan izin Allah. 

Suatu hari, ketika Khalid sedang mempersiapkan angkatan tenteranya menuju ke medan tempur, dia diuji dengan mendapat khabar pelucutan jawatan daripada khalifah Sayidina Umar. Bagaimana mungkin nama Khalid yang sedang naik dan sering disebut-sebut orang menerima nasib sebegitu? Mungkin ini yang mengasak fikiran kita.

Namun apa reaksi Khalid ketika itu? Tenang. Jauh sekali daripada marah dan kecewa. Dia meminta Umar agar menyimpan dahulu berita itu daripada sekalian tentera. Dan buat kali terakhir, hari itu Khalid mengetuai angkatan perangnya dengan begitu baik. Tangkas dan beraninya tidak luntur. Sedikit pun berita tadi tidak mencantas semangatnya. Hasilnya, tentera Islam sekali lagi... menang!

Selesai perang tersebut, dikumpulkan angkatan tentera dan dimaklumkan bahawa Khalid tidak lagi berperanan sebagai ketua angkatan perang. Tempatnya digantikan dengan Abu Ubaidah al-Jarrah. Khalid sudah menjadi tentera biasa! Ini bermakna, dalam siri peperangan seterusnya, levelnya sudah sama seperti anak buahnya!

Kata-kata Khalid ini sangat memberi inspirasi buat mereka yang bergelar pemimpin: “Aku berperang kerana Allah, bukan kerana Umar.”

Rasai sisi Khalid ini dalam diri seorang pemimpin. Tidak perlu pergi terlalu jauh. Cukuplah dahulu pemimpin sebuah keluarga yakni suami. ‘Kuasa’ sebagai suami bukanlah jalan untuk berkuasa sepenuhnya ke atas anak dan isteri. Namun, ia tidak lari daripada tanggungjawab mendidik dan membawa ahli keluarga dekat kepada Allah, jauh dari neraka dan sama-sama masuk ke syurga.

Andai isteri kadang kala bersikap seperti kebudak-budakan, merajuk tak sudah... jangan baran. Bertindaklah sebagai suami yang bertanggungjawab kerana Allah.

Andai ada masanya anak tidak mendengar kata, tantrum dan membuat kita letih... jangan ditengking. Responslah tindakannya dengan kasih sayang sebagai ayah yang bertanggungjawab kerana Allah.

Melakukan sesuatu ‘kerana Allah’. Itulah yang melayakkan Khalid berada di pentasnya yang tersendiri. Dia berjuang bukan kerana ‘title’ tetapi kerana hatinya dekat kepada Allah. Para suami, pastikan jiwa Khalid itu sentiasa subur di hati. Bertanggungjawablah terhadap ‘tentera’ di rumah kalian; isterimu, juga anak- anakmu... kerana Allah!

Isu-isu bulan ini

Pesan Suami Bernama Muhammad Kepada Para Suami

INGATLAH antara isi khutbah terakhir Rasulullah yang berpesan terus kepada suami, “Sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.”

 

Meniru Suami Bernama Muhammad

ADA sebahagian suami yang baik dengan rakan sekerja dan sahabat sepengajiannya. Namun siapa tahu, dialah kakai pukul dan kaki hina isteri di rumah. Diluar suami tidak lokek berbelanja untuk kawannya, namun dirumah dialah pula yang berkira-kira memenuhi keperluan anaknya. Nauzubillah. Hal ini tentunya bertentangan dengan Islam. Hadis Nabi menyebutkan: “Sebaik-baik kalian ialah orang yang baik terhadap isterinya sendiri.” (Riwayat al- Tirmizi)

Kerana Amanah Maka Kami Meredai

Mei 2013 anak sulungku didiagnos sebagai pesakit diabetes jenis 1. Kesan hyperglysemia yang teruk menyebabkan gangguan saraf kaki dan kerosakan otak. Alhamdulillah, nikmatnya ujian Allah ini. Kealpaan kita mensyukuri nikmat sihat menjadikan hikmah itu menusuk jauh ke dalam hati mencari kenikmatan dalam kekerasan ujian Tuhan.

Bukan Watak Lelaki Pilihan

Hubungan perkahwinan yang cemerlang dan matang berlaku dengan adanya sikap saling menghormati sebelum terbitnya perasaan suka dan cinta. Sikap saling menghormati menjadi akar kepada perasaan kasih sebagaimana wangian yang berakar daripada bunga.

Review/Pertanyaan Majalah