Sesekali, Selfie Diri...

Nombor Isu:

40

Tarikh Terbit:

Nov, 2014

Jumlah Muka Surat:

96

Harga:

RM7.00

Sinopsis

Tatkala umur Gen-Q sudah memasuki ‘usia’ 40 bulan, bermakna sudah 40 isu sudah kami kupaskan. Bila sudah banyak yang dikupaskan, maka sudah tentu banyak juga kesilapan yang telah kami lakukan.

Biarpun nada pujangga Barat sering mengungkapkan: “Life begin at forty”, hakikatnya angka 40 ini bukanlah permulaan bagi sebuah kehidupan yang masih berbaki. Tetapi di sinilah persimpangan untuk menilai semula erti hidup yang sudah dilalui.

Segala ranjau mehnah yang ditempuhi dan segala kelazatan pengalaman yang dinikmati akan menjadi bekalan untuk seseorang lebih matang dan berhati-hati untuk meniti usia yang berbaki.

Biarpun perkataan ini lebih sesuai untuk mereka yang baru memasuki four series, namun ia tetap signifikan buat remaja. Percayalah selagi kita hidup, selagi itu kita belajar. Usah tunggu umur 40 tahun baru mahu bermuhasabah, ketika remaja inilah waktu terbaik untuk kita menyusun langkah.

Jika diumpamakan gelanggang kehidupan ini ibarat perlawanan bola sepak, waktu muhasabah inilah waktu rehat sebelum memasuki second half. First half sudah berlalu. Bermakna tiada lagi ruang mencuba-cuba strategi, berlari-lari naik turun padang tanpa tujuan dan mengintai corak permainan lawan

Kini, corak permainan perlu terus diperkemas. Segala kelemahan barisan pertahanan perlu dibaiki segera. Gawang gol juga jangan dibolosi lagi. Second half ini penentu piala syurga. Maka, kami mengambil inspirasi 40 sebagai medan muhasabah. Medan untuk kita ‘selfie’ diri masing-masing merenung apa yang telah dilakukan. Adakah bermanfaat, adakah merasa kerugian?

Jika ada maknanya jiwa ini masih lagi memiliki iman yang jernih dan suci. Oleh itu, rancanglah untuk melakukan setiap perkara dengan terbaik sebagai memori manis di usia tua nanti.

Peluang muda hanya datang sekali... Kita yang melakar sejarah, maka lakarlah yang indah- indah untuk dikenang. Supaya tiada penyesalan di penghujung wisel penamat nanti.

Muhammad Aizuddin Kamarul Zaman

Isu-isu bulan ini

Jalan Muhasabah Menuju Jannah

Bayangkan hidup tanpa cermin... Bagaimana kita hendak melihat wajah sendiri tatkala ingin berdepan dengan orang lain? Jika ada cela dan kotoran di wajah, bagaimana pula hendak membuang? Peri pentingnya cermin, maka sunnah bermusafir membawa cermin kecil untuk merapikan wajah seperti merapikan misai dan janggut.

Selagi Diberi Peluang

Graf menunjukkan kadar peningkatan jumlah kes jenayah golongan remaja sebanyak 111 peratus dalam setahun begitu menggerunkan

Ingat Mati Muhasabah yang Mujarab

Siapa manusia yang paling bijak? Jika soalan ini ditujukan kepada kita, mungkin ramai yang menjawab: “Guru, pensyarah, jurutera, doktor dan sebagainya.”