Haji Muda

Nombor Isu:

49

Tarikh Terbit:

Sep, 2015

Jumlah Muka Surat:

96

Harga:

RM7.00

Sinopsis

Lambaian Haji

Istimewanya ibadah haji kerana ia unik daripada ibadah fardu yang lain. Unik kerana ia dilaksanakan dengan cara yang khusus pada bulan yang khusus di tempat yang khusus. Bahkan lebih istimewa lagi dengan menamakannya sebagai salah satu surah daripada al-Quran – Surah al-Hajj.
Surah al-Hajj dinamakan bersempena perintah Allah ini kepada nabi Ibrahim: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus (penuh kepayahan) yang datang dari pelbagai jalan (ceruk rantau) yang jauh.” (Surah al-Hajj 22: 27)

Bukan itu saja, pada awal surah ini Allah s.w.t. membukanya dengan cerita akhirat, seolah-olah memberi gambaran bahawa ibadah haji adalah sebahagian daripada raptai akhirat yang boleh ‘dirasai’ oleh manusia saat masih lagi di dunia.
Beruntunglah mereka yang menerima jemputan daripada Allah sebagai tetamu-Nya. Sudahlah menjadi insan yang terpilih, diberi lagi peluang sebegini. Sudah pastilah ia memberi gambaran dan kesan yang mendalam buat hujjaj dalam membuat persiapan bekalan akhirat mereka sebaiknya sebelum tiba hari perhitungan yang sebenarnya.
Kemuncaknya apabila hujjaj yang kembali nanti berjaya memperoleh haji yang mabrur. Oleh yang demikian, bergembiralah buat para haji yang memilikinya. Kerana tiada nikmat yang lebih nikmat daripada nikmat pengampunan daripada Allah di samping juga dipilih sebagai penghuni syurga-Nya di akhirat nanti.
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dan haji mabrur tiada balasannya kecuali syurga.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kalaulah saat kematian itu hadir terlebih awal sebelum kita sempat menunaikan haji, paling tidak kematian itu datang setelah kita sedang berusaha untuk menunaikannya. Saya yakin, cinta Allah itu bukan hanya pada ibadah yang telah dilaksanakan, tetapi juga sudah ada cinta-Nya pada saat kita melangkah memulakan perjalanan sesuatu ibadah.
Saya doakan semoga kita semua akan dijemput oleh Allah sebagai tetamu teristimewa-Nya pada suatu hari nanti. Insya-Allah.

Muhammad Aizuddin Kamarul Zaman

Isu-isu bulan ini

Impian Haji Muda

Antara kita sudah pasti ada wishlist masing-masing. Dan setiap wishlist tersebut akan membayangankan diri kita yang sebenarnya. Ada yang ingin backpackers mengelilingi dunia, ada yang ingin belajar di Oxford, ada yang ingin mencari Islam di Balkan dan ada juga yang ingin mengembara dan menulis tentang dakwah Islam di bumi Tel Aviv. Berkahwin muda pun ada. Ikutkan banyak lagi. Ya, memang banyak sungguh impian yang ingin dicapai seawal usia muda ini.

Kisah Cinta di Dataran Kaabah

Di sebalik kota suci ini, tercatat sejarah kisah-kisah cinta yang menghidupkan jiwa-jiwa mereka yang beriman. Jika Romeo dan Juliet dengan kisah terlarangnya, Shah Jahan dan Mumtaz Mahal dengan cinta membuta tulinya dan Eiffel dengan simbol cinta nafsunya, namun tidak bagi kisah kota ini yang subur dengan cintanya zaman berzaman. Semestinya, jauh bezanya cinta kota ini dengan kisah-kisah cinta picisan yang kontang daripada roh keimanan.

Promo

Review/Pertanyaan Majalah