Tak Perlu Sentap Sentap

Nombor Isu:

53

Tarikh Terbit:

Jan, 2016

Jumlah Muka Surat:

96

Harga:

RM7.00

Sinopsis

Apalah gunanya kita membentak, mengherdik, menyentap, dan menengking, kalau kita sudah tahu semua  kata-kata itu tidak sama sekali membekas ke dalam jiwa. Buat apa jika kepalanya sahaja yang tertunduk dek kerana bahasa sentap kita, namun fikiran dan hatinya masih membengis dan memberontak menidakkannya.

Kita bukan mahukan kepuasan sendiri tatkala menghamburkan kata-kata, yang kita mahukan fikiran dan hati mereka yang tertunduk akur mengeyakan dan menerima kebenaran. Sebab itu kita jangan lupa bukan kerana bahasa manusia terasa berdosa, tetapi kerana rasa berdosa itulah yang membuatkan manusia ‘terasa’ sehingga ke dalam lubuk jiwa.

Dalam erti kata yang lain, sentap itu bukan pada bahasa tetapi pada rasa. Rasa berdosa yang disesalkannya, bukan pada bahasa yang dibebelkan kepadanya.

Manusia tidak sama. Sudahlah rupa fizikal pun berbeza-beza, inikan pula sikap, fikiran dan hatinya yang tersembunyi. Walau mereka sedarah dan sedaging dengan kita sekalipun, tetap juga berbeza. Apabila berbeza, maka pendekatannya juga berbeza.

Ada manusia yang sukakan tekanan, maka dengan teguran membuatkannya ke hadapan. Ada juga manusia yang tidak sukakan teguran, maka dakwah dengan hikmah mampu membawanya kembali terarah. Namun, bukan mudah untuk ‘membaca’ fikiran seseorang dalam tempoh yang singkat.

Oleh sebab itulah, mudah dan umumnya perwatakan manusia ini mereka tidak suka digesa, apalagi dipaksa. Kerana ada egonya yang tidak boleh disergah dengan kasar. Sebaliknya manusia suka dipujuk, dibelai dan diajak pada kebaikan dengan lunak dan kasih sayang. Maka jangan diasak dan ditolak mereka ini ke pintu kebaikan. Tetapi biarlah diajak, kelak mereka sendiri yang melangkah dengan rela setelah ditawan hatinya dengan kebenaran. Kerana, memang begitulah fitrah manusia yang sukakan kebaikan.

Fahamilah, benar tidak semestinya kasar... dan sentap tidak perlulah sehingga biadab!

Isu-isu bulan ini

Biar Tak Sentap, Asalkan Meresap

Cuba lihat cara dan gaya para ulama terdahulu menulis kitab-kitab mereka. Kita akan terasa betapa cinta dan kasih sayangnya mereka kepada sesiapa yang membaca tulisan mereka. Ini kerana nada, gaya, ayat dan bahasa yang digunakan penuh dengan pujukan dan teguran yang seolah-olah membelai pembaca. Sehingga apabila kita membacanya terasa mereka bagaikan ayah, ibu, sahabat atau teman yang paling akrab. Tulisan mereka meresap masuk ke dalam lubuk hati tanpa kita sedari. Tiada bentakan, cemuhan dan kata-kata yang menggores hati.

Apasalahnya Kalau Cakap Baik-Baik

Ingat, bahasa yang kasar sekalipun benar, tetap menyakitkan. Apabila mendengar bahasa yang sebegini, kita mudah rimas kerana terasa dipersalahkan. Sedangkan sekiranya kebenaran itu dapat disampaikan dengan bahasa yang lunak dan kasih sayang, pasti akan menimbulkan rasa bersalah dalam diri pendengar. Berbeza sekali impak rasa bersalah dan dipersalahkan.

Syukur Kita Ada Nabi

Sangkaan kita mustahil pada zaman sekarang untuk bercakap dan berdakwah dalam bahasa yang baik-baik. Tidak mungkin dalam keadaan masyarakat yang dicengkam hebat dengan hedonisme dan ‘berpenyakit’ wahan (cinta dunia, takut mati) yang melampau, kita masih lagi boleh berlemah lembut dan bertolak-ansur dalam menyampaikan kebenaran dan kesedaran.

Awas Jaga Lidah Anda

Aku memang sangat akrab dengan pelajar. Sehingga kini, sudah tiga buah sekolah aku telah ditempatkan dan di setiap sekolah itu, aku akan mengikat tali perhubungan yang rapat dengan mereka. Barangkali kerana jarak usiaku dengan mereka tidak terlalu jauh menyebabkan mereka menaruh kepercayaan kepadaku untuk bercerita, berkongsi masalah, meminta pandangan dan sebagainya. Syukurlah. Sekurang-kurangnya mereka tidak terbiar hanyut dalam masalah mereka sendirian.

Promo

Review/Pertanyaan Majalah