Ceritera Magis Filem

Nombor Isu:

55

Tarikh Terbit:

Mar, 2016

Jumlah Muka Surat:

97

Harga:

RM7.00

Sinopsis

Saya punya sebab tersendiri mengapa mahu mengabadikan tema filem dalam Gen-Q kali ini. Secara peribadinya, saya melihat filem sudah menjadi kebiasaan dalam kehidupan manusia moden. Malah menjadi sebahagian besar daripada lifestyle remaja kini. Maka, rugi rasanya jika saya tidak ‘mengali’ isu ini. Saya tidak mengecilkan skop filem hanya kepada filem semata-mata, tetapi saya juga meluaskannya kepada filem-filem pendek yang sering ditonton di media sosial, di rancangan televisyen dan di channel Youtube. Boleh kata, saban hari manusia moden tidak boleh lari daripada menghadapinya dan menontonnya. Justeru itulah magis dan kuasa filem yang tidak boleh dinafikan. Oleh yang demikian, saya menghormati jika ada pandangan sesiapa yang cenderung ‘menghukumkan’ filem sebagai masalah, negatif dan sia-sia. Namun dalam masa yang sama, saya menyeru juga kepada semua agar kita tidak hanya pandai menghukum masalah tetapi juga perlu pandai memikirkan jalan keluar daripada masalah. Maka, tiada jalan lain untuk keluar daripada masalah kecuali adalah dengan ‘memasuki’ dan menghadapinya sendiri. Dan inilah mujahadah yang sedang kami usahakan. Justeru, Gen-Q kali cuba menapak selangkah ke hadapan bukan untuk mencemuh, tetapi untuk memandu pembaca muda agar menonton filem dengan ilmu. Juga, memanipulasi magis dan kuasa filem ke arah kebaikan yang diredai Tuhan. Jika Jedi Knight pun boleh memainkan peranan utama dalam mempertahankan kebaikan dalam dunia khayalan Star Wars, sepatutnya kita lebih-lebih lagi di dunia realiti ini. Bukankah kita ini sudah dilantik menjadi khalifah Allah yang digerakkan untuk memberikan dan memperjuangkan kebaikan, maka berilah sebanyak-banyak kebaikan yang boleh selagi kita terdaya. Oh, alangkah indahnya jika ada filem yang hebat datangnya daripada air tangan seorang Muslim... yang bukan sekadar cerita remeh-temeh, lawak kosong dan mesej baik sebagai tempelan semata-mata. 

Isu-isu bulan ini

Filem Kita Wajah Hati Kita

Filem kita adalah wajah kita. Begitulah yang sering diungkapkan. Ungkapan ini ada benarnya kerana apa yang ada dalam minda pengarah, penerbit, pelakon dan seluruh krew produksi filem tertumpah segala-galanya dalam filem bikinan mereka. Mereka berkongsi misi yang sama iaitu ingin agar filem mereka ditonton ramai. Merekalah pihak yang mengkaji apakah faktor yang boleh menyebabkan sesuatu filem itu laris di pasaran.

Filem Wajib Tak Tonton

Secara sinis seorang sahabat berkata: “Tidak ada hantu yang berkeliaran pada malam Jumaat.” “Malam Jumaat, malam yang berkat. Esoknya, penghulu segala hari raya. Hari raya mingguan untuk umat Islam. Mungkin itu sebabnya,” balas saya. “Bukan itu yang aku maksudkan,” katanya. Saya senyum sambil bertanya kembali: “Kenapa tiba-tiba kau bercakap tentang hantu?” Dia diam sebentar. Kemudian menyambung: “Semua hantu dah masuk dalam TV. Macam-macam hantu telah dimunculkan semula. Pemikiran orang kita kembali ke belakang. Bayangkanlah jika dulu orang takut nak tengok hantu, sekarang orang suka tengok hantu.”  Saya senyum dengan sindirannya. Teringat kata guru muncul tiba-tiba dari bawah katil, dari sebalik pintu dan sebagainya.

Kuasa Filem

Filem terbaru yang saya tonton ialah Robin Hood lakonan Russell Crowe. Filem tersebut sudah ditayangkan pada 2010, cuma saya baru berkesempatan menontonnya. Secara umumnya saya berpandangan ia filem yang baik. Banyak aspek sinematografi filem tersebut yang boleh dipertikaikan. Walau bagaimanapun, saya lebih memberikan perhatian pada aspek mesej dan jalan cerita. Maka babak-babak awal filem tersebut yang paling membuatkan saya teruja. Watak Richard the Lionheart ditonjolkan pada awal cerita tersebut. Richard the Lionheart satu nama besar dalam kempen Perang Salib di Palestin. Dia menghukum Robin Hood setelah beliau memberi kenyataan jujur tentang kepimpinannya. Menurut Robin, Richard bukanlah pemimpin yang baik. Antara buktinya, raja kejam itu tanpa belas kasihan membunuh semua penduduk Islam termasuk wanita, orang tua dan kanak-kanak sepanjang kempen Perang Salib. Masya-Allah, bukankah ini pengakuan Barat terhadap sejarah hitam mereka sendiri?

Jom Bikin Filem

Filem Andalusia. Filem Muslim terhebat masa kini yang memenangi pelbagai anugerah di festival filem antarabangsa berprestij. Antaranya anugerah Golden Bear di Festival Filem Antarabangsa Berlin, anugerah Golden Lion di Festival Filem Antarabangsa Venice dan sebagai filem bahasa asing terbaik di Academy Awards, sinonimnya Oscar baru-baru ini. Terbaru, filem ini turut rancak meniti di bibir-bibir pengkritik filem sempena Festival Filem Cannes tidak lama lagi.

Review/Pertanyaan Majalah