Biar Kasut Membawa Ke Syurga

Nombor Isu:

56

Tarikh Terbit:

Apr, 2016

Jumlah Muka Surat:

96

Harga:

RM7.00

Sinopsis

Apa ada dengan kasut? Apa ada dengan kasut ini berbeza-beza mengikut penilaian seseorang. Dan penilaian seseorang itu semuanya akan berbalik semula kepada ilmu. Kata orang: "What you see is what you are."

Mungkin saya boleh mudahkan dengan analogi tiga orang manusia yang berbeza profesion tetapi melihat kasut yang sama.

Manusia pertama adalah tukang kasut, maka dia melihat kasut sebagai punca pendapatannya. Manusia kedua adalah peminat fesyen, maka dia melihat kasut sebagai alat baginya untuk bergaya.

Namun berbeza dengan manusia ketiga sebagai ahli perniagaan. Dia akan melihat kasut dengan membayangkan potensi untuk membesarkan perniagaan dan meningkatkan keuntungannya.

Nah, ketiga-tiga mereka ini berbeza sudut pandangnya. Mengapa? Kerana ilmu yang membezakannya.

Oleh sebab itu, saya cuba sedaya upaya membawa pembaca muda agar tidak memandang kasut hanyalah sebagai alas kaki mahupun fesyen semata-mata. Kerana jika hanya itulah sudut pandangnya, itu bermakna kita masih lagi remaja yang biasa-biasa sahaja.

Sedangkan remaja yang luar biasa akan melihat kasut dengan skop yang lebih luas.

Pasti dia akan memikirkan mengapa Allah merakamkan sekali perkataan kasut ketika menceritakan peristiwa kenabian Musa di lembah Tuwa. Juga, apakah kelebihan dan amalan Bilal bin Rabah yang boleh diteladani sehinggakan derap kasutnya sudah didengari oleh Nabi di syurga.

Ini adalah sebahagian yang saya cuba membayangkannya. Apa pun, niat utama kita adalah mencari reda Allah, kerana dalam kehidupan ini kita tidak ingin mencuri perhatian manusia, tetapi yang dicari adalah perhatian Allah. Dan itulah kejayaan yang sebenar-benarnya.

Allah berfirman: “Allah menjanjikan orang yang beriman, lelaki dan perempuan dengan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai- sungai. Dengan keadaan mereka di dalamnya dan mendapat tempat yang baik di dalam syurga ‘Adn serta keredaan daripada Allah yang lebih besar kemuliaannya. Yang demikian itulah kejayaan yang besar.” (Surah al-Tawbah 9: 72)

Semoga isu 56 kali ini memberi manfaatnya. Dan setiap perkara yang bermanfaat itu, ambil dan amalkanlah. Seterusnya disebarkan kepada semua.

Keep Calm & Doa

Isu-isu bulan ini

Sepahtu yang Membawa ke Syurga

Kasut atau sepatu cuma alat, yang penting kaki. Kaki pun masih alat, yang penting hati. Apabila hati baik, insya-Allah kaki jadi baik. Apabila kaki baik, sepatu yang dipakainya akan digunakan untuk melakukan perkara yang baik-baik atau pergi ke tempat-tempat yang baik.

K.H.U.F

Nabi pakai KHUF Buraidah menceritakan: “Najasyi telah menghadiahkan kepada Nabi sepasang kasut berwarna hitam penuh. Lalu Baginda memakainya, kemudian Baginda mengambil wuduk dengan menyapu ke atasnya (tanpa menanggalkannya).” (Riwayat al-Tirmizi)

Nostalgia Kasut Nabi

Berlapis Dua. Amru bin Huraits bercerita: “Aku telah melihat Rasulullah menunaikan solat dengan memakai sepasang sandal yang bertampung (yakni berlapis dua).” (Riwayat Ahmad) Daripada hadis-hadis yang diceritakan oleh para sahabat ini bahawa sungguh sederhananya fesyen sandal atau kasut Baginda s.a.w. Malah apa yang boleh kita simpulkan, Baginda hanya memakai sandal yang memenuhi keperluannya dan bukannya kemahuannya biarpun Baginda waktu itu adalah presiden Negara dan pemimpin manusia.

Pilih Kasut Anda

Pernahkah anda merasakan gaya berjalan anda seperti mengangkang dan tidak kena, ataupun anda berkeyakinan mengayunkan kaki ketika berjalan? Sebenarnya cara berjalan berkait rapat dengan pemilihan kasut yang anda pakai hari itu.