Haiwan Kesayangan: Sayang Atau Obeses?

Nombor Isu:

58

Tarikh Terbit:

Jun, 2016

Jumlah Muka Surat:

96

Harga:

RM7.00

Sinopsis

Dahulu, ada seorang pelacur sedang melintasi sebuah perigi. Di tepinya ada seekor anjing yang sedang kehausan. Kehausan yang boleh membawa kematian.

Maka si pelacur ini menanggalkan kasut, lalu mencedok air dengan kasutnya untuk diberi minum anjing tersebut. Disebabkan peristiwa ini, si pelacur itu diampunkan dosanya. (Riwayat al-Bukhari)

Saya merenung panjang setiap kali mengingati hadis ini. Bahkan apabila bercerita tentang haiwan, hadis inilah yang saya ulang-ulang. Mengapa?

Kerana hadis ini membuktikan betapa luasnya peluang pengampunan dan meraih kasih sayang daripada Allah buat para hamba-Nya. Inilah impak kasih sayang. Sekalipun pada haiwan, kasih sayang wajib dalam hati setiap Mukmin.

Seperti mana sabda Nabi: “Mereka yang penyayang pasti akan disayangi oleh al-Rahman (Allah Yang Maha Penyayang). Maka sayangilah setiap makhluk yang berada di bumi, nescaya kamu semua akan disayangi oleh setiap makhluk yang berada di langit.” (Riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi)

Seronok dan teruja, bukan?

Begitulah yang kami rasai di pihak editorial. Isu ini rasanya begitu dekat dengan jiwa-jiwa kami. Bezanya, kami mengupas dari sudut yang berbeza agar memberi kelainan rasa buat para pembaca.

Pertama, kami menyentuh tentang istimewanya rasa berkasih dengan haiwan. Ia perasaan yang berbeza, yang sukar diungkap dengan kata-kata.

Kedua, hukum-hakam yang berkaitan haiwan kesayangan. Kami mengangkat kupasan ini bagi menghilangkan dilema-dilema dan persoalan- persoalan yang sering timbul dalam kalangan pencinta-pencinta haiwan.

Ketiga, memberi panduan kepada Muslim pencinta haiwan bahawa mencintai haiwan ini ada caranya. Tidak obses, tidak selektif, bertanggungjawab dan sebagainya.

Keempat, kami mengeluarkan kisah-kisah haiwan daripada al-Quran. Semestinya kisah-kisah yang dirakam itu ada panduan dan pengajaran dalam kehidupan kita.

Insya-Allah, semoga kehadiran naskhah Gen-Q ke-58 di tangan anda semua ini memberikan sesuatu pengalaman yang berbeza.

Ayuh, jelajahi dunia haiwan yang menggembirakan!

Isu-isu bulan ini

Cinta Haiwan Bukan Soal Pinggiran

Sering diungkapkan dalam kalangan manusia ada binatang, namun tidak ada manusia dalam kalangan binatang. Sekali imbas, ungkapan ini agak kasar maknanya. Tetapi jika ditilik dengan hati yang terbuka, amat benar pula akan kenyataannya.

Kisah-kisah Haiwan dalam Quran

Oh, barang kali ramai yang merasakan kupasan ini jauh daripada topik perbincangan asal kita. Hakikatnya tidak. Sebaliknya saya cuba mempelbagaikan sudut pandang kita dalam sesuatu isu yang diperbincangkan. Malah tanpa kupasan kisah - kisah haiwan dalam al-Quran, saya merasakan ada kekurangannya jika menceritakan tentang haiwan tetapi tidak mengaitkannya dengan al-Quran.

Muslim Pencinta Haiwan Mesti Berjiwa Besar

Benar, seorang Muslim sememangnya wajar mencintai makhluk yang lain. Sama ada haiwan dan juga tumbuhan. Kerana itu juga adalah sebahagian daripada percikan kesan takwa kita kepada Allah.

Belajar pada Haiwan

Sungguh, bahasa manusia memang kaya dengan perbandingan dan kiasan. Bahkan, ada kalanya tingkah laku manusia itu misalnya dibandingkan dengan sifat haiwan.

Review/Pertanyaan Majalah