Takkan Gentar

Nombor Isu:

59

Tarikh Terbit:

Jul, 2016

Jumlah Muka Surat:

96

Harga:

RM7.00

Sinopsis

Dalam ‘keterujaan’ kita menghenyak dan menghempuk ‘musuh’ lahiriah yang kita gelarkan atas alasan kepuasan diri, jangan kita lupa semuanya itu akan dihitung satu persatu oleh Allah di akhirat.

Ya, memang benar darah orang muda mudah panas. Namun jangan dijadikan itu sebagai alasannya. Sedangkan sepatutnya ‘darah mudah panas’ itu mesti pandai disalurkan pada musuh sebenar kita. Biarpun ia halimunan, namun ia tetap nyata sebagai musuh sebenar manusia.

Allah menjelaskan: “... Sungguh, syaitan itu musuh yang jelas bagi manusia.” (Surah Yusuf 12: 5)

Hal ini kerana, syaitan sendiri yang telah mengisytiharkan perang sepanjang zaman kepada manusia.

Allah merakamkan ‘aku janji’ syaitan: “Wahai Tuhanku, kerana Engkau telah menjadikan aku sesat, pasti aku akan memperindah segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya (manusia) di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semua, kecuali hamba- hamba-Mu yang ikhlas dalam kalangan mereka.” (Surah al-Hijr 15: 39–40)

Justeru, mengisytiharkan perang dengan syaitan adalah wajib. Dan haram jika kita mengharapkan adanya perdamaian dan gencatan senjata dengan mereka.

Benar, musuh lahiriah itu berbahaya. Namun musuh halimunan ini lebih-lebih lagi berbahaya. Bahkan lebih dahsyat lagi.

Kata Yahya bin Mu‘az al-Razi: “Syaitan itu pengganggu, ia mempunyai banyak waktu untuk menjalankan perancangan. Sedangkan manusia pula terlalu sibuk, namun syaitan menyedari hakikat ini. Manusia tidak melihat dan sering lupa terhadap syaitan, namun syaitan sentiasa ingat!”

Guruku memberi perumpamaan: “Bayangkan, dua orang peninju sedang bertarung. Seorang ditutup matanya, manakala seorang lagi dibiarkan terbuka. Siapakah yang akan memenangi pertarungan tersebut?

Ya, sudah tentu peninju yang terbuka matanya. Begitulah dalam peperangan melawan syaitan, ia boleh melihat kita tetapi kita tidak boleh melihatnya. Jika kita tidak mempunyai pandangan mata hati yang dipandu oleh petunjuk Ilahi, sudah pasti kita akan kecundang.

Maka tidak ada alasan untuk berasa tenteram dengan godaan, bujukan dan tipu daya syaitan. Ketahuilah syaitan ialah musuh yang tidak pernah tidur!”

Semoga Gen-Q kali ini membuatkan kita TAKKAN GENTAR menghadapi 'musuh-musuh' kehidupan ini.

Isu-isu bulan ini

Membelasah "Waswasah" Syaitan

Jangan sangka musuh kita hanya nyata di mata sahaja. Tidak, musuh kita yang sebenar adalah musuh halimunan, yakni syaitan. Justeru, kemahiran bertempur fizikal bukan sahaja digalakkan, tetapi kemahiran bertempur jasmani lebih-lebih lagi digalakkan kerana musuh halimunan lebih licik dan merbahaya daripada musuh yang nyata.

Kenali The Knockout Punch dalam Menumpaskan Musuh Halimunan

Pada setiap masa dan ketika, di segenap tempat dan dalam apa-apa jua keadaan, 'pahlawan' Muslim hakikatnya sedang berpencak. Bahkan sentiasa berpencak silat dengan musuh sebenarnya; syaitan. Sejak awal kejadian insan, yakni ketika Nabi Adam a.s. mula diciptakan, permusuhan syaitan telah bermula.

Keep Calm & Train like Warrior

Sekuat mana pun jiwa, fikiran dan fizikal seseorang, ada masanya terkesan juga dengan masalah- masalah dalam kehidupan. Kerana, lesu dan letih pada tubuh badan adalah sebahagian fitrah manusia sebagaimana jemu dan bosan dalam diri.

8 Fiqah Seni Bela Diri nan Berseni

Jangan tak tahu mempelajari seni bela diri pun boleh memperoleh pahala. Masakan tidak, bukankah Allah menyukai Muslim yang kuat berbanding Muslim yang lemah.