Solatku Penyejuk Hatiku

Nombor Isu:

107

Tarikh Terbit:

Oct, 2017

Jumlah Muka Surat:

104

Harga:

RM10.00

Sinopsis

Ketika membentangkan isu yang akan dikupas dalam Solusi 107 kepada sidang editorial dalam satu sesi mesyuarat, ada yang bertanya, “Isu solat lagi?”

Saya tersenyum. Jawapan saya, isu solat bersifat malar segar. Persoalan tentang solat tidak akan pernah habis. Sentiasa akan timbul permasalahan,

terutamanya melibatkan hukum-hakam. Melihatkan respons pengikut di Facebook Majalah Solusi yang bertanya tentang hukum-hakam solat, saya yakin dengan pemilihan tajuk kali ini.

Namun kali ini saya ingin membawa pembaca kepada satu sudut pandang yang baharu tentang solat - falsafah solat. Tentu perintah mendirikan solat bukan saja-saja. Tentu ada makna yang tersendiri di sebalik gerakan dan bacaan solat.

Betapa solat boleh menjadi penawar kepada hidup yang sakit, menjadi solusi kepada semua permasalahan hidup. Pendek kata, hatta sekecil-kecil permasalahan sekalipun seperti hilang tali kasut, Allah yang dicari dahulu. Tidak lain tidak bukan, tentunya melalui jalan solat.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Dan mintalah (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat. Sesungguhnya solat amat berat kecuali kepada orang yang khusyuk.” (Surah al-Baqarah 2: 45)

Namun entah di mana silapnya, kesan solat yang kita lakukan bertahun-tahun belum lagi meresap dalam diri. Solat belum lagi menjadi penyejuk hati kita. Belum lagi terasa tidak sabar mahu solat saat terdengar azan. Sebaliknya terasa lapang dan terlepas ‘beban’ pula setelah menunaikan solat. Ironinya, solat yang dilakukan sekitar 5 minit begitu lama jika dibandingkan dengan melayan kenalan di laman sosial yang kadangkala berjam-jam.

Sampai masanya untuk kita merasai erti kemanisan dalam solat. Seperti kesan solat terhadap Rasulullah dan para sahabat. Lihatlah saat Rasulullah yang menyuruh Sayidina Bilal r.a. mengumandangkan azan: “Wahai Bilal, rehatkan kami dengan solat.” (Riwayat Ahmad)

Mari berehat seketika daripada ujian dan cabaran dunia dengan solat. Mari jadikan solat sebagai penyejuk hati.

Isu-isu bulan ini

Tiada Lagi Solat 'Patuk Ayam'

Biasanya kita mendengar perkara yang wajib dalam solat adalah bertakbir, membaca al-Fatihah, rukuk, sujud dan sebagainya. Namun antara perkara wajib yang sering diabaikan ialah tenang dalam solat! Dalam istilah teknikalnya, tamakninah dalam solat.

Mencuri Sambil Solat

Perbuatan yang sering kali dilakukan sebahagian orang, namun mereka tidak sedar akan kesalahannya. Mereka menyangka sedang beribadah, namun dalam waktu yang sama mereka juga ‘mencuri’. Itulah perumpamaan orang yang solat tergesa-gesa sehingga meninggalkan tamakninah ketika solat.

Kenikmatan Pada Setiap Gerakan

Seringkali tatkala ditanya mengenai khusyuk dalam solat, saya suka mengaitkannya dengan fokus. Analoginya begini. Ketika menonton satu rancangan atau filem kegemaran, keadaan diri kita seolah-olah terpaku di hadapan skrin.

Apabila Solat Tidak Menyentuh Hati

“Berapa ramai orang Melayu-Islam yang tidak solat? Mengikut kajian tidak rasmi, hampir 80%. Yang mengerjakan solat pula, berapa ramai yang benar-benar memahami, menghayati dan melaksanakan tuntutan solat dalam kehidupan?”

Review/Pertanyaan Majalah