Aibku Allah Tutup

Nombor Isu:

108

Tarikh Terbit:

Nov, 2017

Jumlah Muka Surat:

104

Harga:

RM10.00

Sinopsis

Selain manusia diciptakan berpasangan lelaki dan perempuan, manusia juga 'berpasangan' sikap dan peribadinya. Mudah bicaranya, ada kelebihan dan kekurangan. Jika dia kelihatan sempurna wajahnya, mungkin ada kemahiran yang tidak dikuasai. Jika dia menguasai ilmu profesional, boleh jadi dia perlu menuntut untuk membaca al-Quran bertajwid, misalnya. Manusia sempurna menjadi manusia, apabila dia mempunyai kedua-dua ini. Allah sahaja yang tiada cacat cela. 

Justeru, apabila kita mengakuinya, seharusnya kita tidak memandang diri jauh lebih mulia berbanding orang lain. Jika adapun, hakikatnya Allah sedang menutup aib kita. Allah menutup lompang dan kurangnya diri kita.

Jika memandang orang lain yang nampak lebihnya berbanding kita pula, tidak seharusnya timbul rasa hasad dengki, kerana apa yang kita nampak adalah zahirnya. Allah sedang menutup aib orang lain yang mungkin kita tidak tahu.

Lihatlah bait-bait kata Syeikh Abdul Kadir Jailani dalam usaha menjaga hati, merasa diri lebih baik berbanding orang lain: “Apabila engkau bertemu dengan seseorang, hendaklah engkau memandang dia lebih utama daripada dirimu dan katakan dalam hatimu: ‘Boleh jadi dia lebih baik daripadaku dan lebih tinggi darjatnya.’

Jika dia lebih kecil dan lebih muda daripadamu, katakan dalam hatimu: ‘Boleh jadi orang kecil ini tidak banyak berbuat dosa kepada Allah, sedangkan aku telah banyak berbuat dosa. Darjatnya tentu jauh lebih baik daripadaku.’

Apabila dia orang yang lebih tua, katakan dalam hatimu: ‘Orang ini lebih dahulu beribadah daripadaku, telah diberi oleh Allah sesuatu yang tidak dapat aku raih, telah mengetahui sesuatu yang aku tidak ketahui, dan telah mengamalkan segala ilmunya.’

Apabila bertemu orang jahil, katakan dalam hatimu: ‘Aku tidak tahu, boleh jadi dia akan masuk Islam dan menghiasi kehidupannya dengan amal soleh, dan aku pula boleh jadi terjerumus kafir dan mengakhiri kehidupanku dengan amal buruk.’”

Dalam pandangan Islam, setiap manusia sama sahaja. Tiada beza antara orang kaya dengan orang miskin, berpangkat tinggi atau rendah, latar belakang pendidikan atau apa sahaja. Jelas Allah mengingatkan, orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang bertakwa.

 

Isu-isu bulan ini

Simpan Aibmu Baik-baik

Antara perkara yang ditekankan syariat Islam adalah menutup keburukan dan aib. Tujuan pensyariatan ini agar keburukan yang lebih besar tidak tersebar dalam kalangan masyarakat, sekali gus menjaga keharmonian umat.

 

Orang Sibuk Tak Akan Menyibuk

Zaman moden ini, istilah ‘mulut murai’ tidak lagi dipegang oleh wanita, bahkan kaum Adam juga menjuarainya. Sebagaimana menutup parut di muka, begitulah aib kita lebih berhak untuk ditutup daripada sibuk membuka aib orang lain.

Aku Insan Berdosa

Antara tuntutan untuk membersihkan jiwa adalah menyibukkan diri memperbaiki diri sendiri kerana ini merupakan salah satu jihad yang menjadi tuntutan agama. Jangan mudah tertipu dengan belitan iblis yang sering membisikkan kelemahan dan kesilapan diri sendiri lumrah kehidupan yang tidak perlu diperbetulkan, lalu dihalakan kesilapan tersebut berpunca daripada orang lain.

Aib Orang Aib Kita

Apa rasanya apabila mendengar aib sendiri diceritakan orang? Tentu amat malu, bukan? Begitulah sepatutnya kesedaran kepada diri kita untuk tidak menyebarkan aib orang lain.

Review/Pertanyaan Majalah