Jadilah Anak Soleh Selamanya

Nombor Isu:

110

Tarikh Terbit:

Jan, 2018

Jumlah Muka Surat:

104

Harga:

RM10.00

Sinopsis

Tanyalah pada mana- mana ibu yang pernah melahirkan anak, pasti jawapannya sama. Sakit. Sama ada secara normal atau pembedahan, kedua-duanya menuntut perjuangan di dewan bersalin. Itu belum termasuk kesusahan sebelum itu; saat lelah mengandung dan mengalami alahan.

Selepas melahirkan, bermula pula episod jadual yang baharu. Masa tidur sudah tidak menentu. Dua
jam sekali, si ibu akur menunaikan hak menyusukan si anak. Sakit melahirkan belum reda lagi, perlu pula memahami kerenah si kecil. Menangis kerana lapar, sakit perut, tidak selesa atau apa? Itu juga memerlukan masa untuk ibu memahami dan menyesuaikan diri.

Ayah pula tidak kurang kisah perjuangannya untuk si anak. Dia kelihatan senang melayan kerenah
si kecil yang inginkan perhatian sekalipun penat seusai pulang bekerja. Gaji bulanan dicongak dan dibahagikan supaya cukup untuk keluarga. Kadang keperluan sendiri terpaksa ditahan dahulu bagi memenuhi keperluan makan minum dan pakai anaknya.

Ayah kadang tidak banyak bicara dan pesannya untuk anak, tetapi apa yang keluar dari mulut emak, banyak juga dari isi hati ayah. Apa yang baik pada emak, baik juga pada ayah. Jika asas dalam pembentukan si anak ialah agama, apa lagi yang mahu berbalah. Jika ada pun, tidak lama dan senang untuk berbaik semula.

Semua ini dan banyak lagi, ialah titik- titik perjuangan ibu ayah yang bermula sebaik sahaja kita semua menumpang di rahim ibu. Sekalipun semuanya bukan mudah, tetapi mereka tidak pernah kalah dalam membesarkan dan mendidik anak-anak.

Terngiang-ngiang akan hadis Nabi, salah satu amalan yang tidak putus sekalipun seseorang sudah meninggal dunia. Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Jika seseorang meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan, atau doa anak soleh untuknya. (Riwayat Muslim)

Justeru, setiap anak yang lahir, lahirnya bersekali dengan harapan ibu ayah - anak yang soleh. Mudah- mudahan kita tergolong dalam kalangan anak soleh. Anak-anak yang mendoakan kedua ibu bapanya. Wahai Tuhan kami, ampunilah dosa kami dan kedua ibu bapa kami serta sayangilah mereka sebagaimana mereka mengasihi kami sewaktu kami kecil. Amin.

Isu-isu bulan ini

Hargailah Ibu Ayah Selagi Masih Ada

Semakin hari, kita semakin meningkat dewasa. Sedar tidak sedar, kita sudah mampu berdiri di atas kaki sendiri. Ada yang sudah melanjutkan pelajaran tinggi, ada yang sudah berkerjaya dan ada juga yang sudah menjadi insan terkemuka.

Kita Selamanya Seorang Anak

Tidak kira siapa pun kita. Seorang CEO sebuah syarikat, seorang hartawan mahupun agamawan, seorang doktor yang merawat penuh kepakaran, seorang ahli politik petah bicara,kita tetap terhutang budi kepada ibu dan ayah. Meskipun sebaliknya kita seorang yang tiada nama di bibir dunia, hatta seorang banduan penjara kerana salah lakunya; di mata kasih seorang ibu, di sebalik redup tenang dan tegas mata si ayah, kita selamanya seorang anak.

Aku Mahu Jadi Anak Dan Ayah Yang Soleh

Sepatutnya rantai hubungan dalam sebuah keluarga atau masyarakat dijaga secara adil. Gelung rantai yang dipegang perlu kukuh sebelum dan selepas. Mana mungkin gelung rantai yang kita pegang berfungsi mengikat kemas sesuatu perkara jika gelung sebelumnya reput berkarat?

 

11 Langkah Mendidik Anak Soleh

Anak soleh bukan sahaja anak yang bersopan-santun dan taat kepada ibu- bapa, tetapi yang lebih utama daripada itu adalah anak yang menjaga agamanya, taat kepada Allah, tahu kewajipannya sebagai hamba Allah dan tahu tanggung- jawabnya kepada agamanya.

Review/Pertanyaan Majalah