Tuah Anak Istimewa

Nombor Isu:

114

Tarikh Terbit:

May, 2018

Jumlah Muka Surat:

114

Harga:

RM10.00

Sinopsis

Melihat kepada cadangan awal pemilihan tajuk isu kali ini – Anak Istimewa Bukan Bala – ada sedikit ketidakpuasan hati terhadap perkataan yang dipilih. Ya, jelas maksudnya tetapi tidak sesuai digandingkan perkataan “bala” dengan “anak istimewa”. Berfikir lebih dalam, terlintas perkataan “tuah”. Ah, ini cantik. Tuah Anak Istimewa! Anak istimewa memang pembawa tuah. Lihatlah di dada akhbar atau tular di media sosial, banyak dipaparkan kepada kita kejayaan anak istimewa. Ada yang buta tetapi ahli al-Quran. Ilmunya di dada, bukan di buku. Ada yang kudung kakinya tetapi usahawan berjaya. Semua ini menjadi bukti, anak istimewa bukanlah beban tetapi hadiah. Jika belum menjumpai keistimewaannya mungkin belum diterokai sedalam-dalamnya. Dan yang lebih bertuah, apabila anak itu mampu menjadi anak soleh solehah yang boleh “memanjangkan” kebaikan kedua-dua ibu bapanya. Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya, “Tiada satu diri pun yang ditangguhkan apabila datang ajalnya. Sesungguhnya tambahan umur ialah zuriat yang soleh, yang Allah anugerahkan kepada hamba-Nya. Maka zuriat yang soleh itu berdoa kepadanya selepas kematiannya. Doa-doa zuriat yang soleh itu menghubungkannya ketika dia berada di dalam kubur...” (Riwayat al-Tabarani) Anak istimewa meski tidak sempurna fizikal dan akal fikirannya, dia masih punya perasaan. Jauh di lubuk hati, dia merasai kesusahan ibu bapa yang menjaga dan membesarkannya. Hati kecilnya ada perasaan untuk membalas susah payah orang yang dicintai. Diam diam dia berdoa untuk ibu bapanya. Justeru, pasakkan dalam diri anak ini tentang iman dan Islam. “Anak, kita ini hamba Allah. Kita layak diuji. Allah pasti balas jika kita bersabar.” “Anak, kita ini orang Islam. Allah sentiasa beri kita jalan jika kita ditimpa kesusahan.” Pertama dan utama, bersyukurlah dahulu dengan anugerah anakini. Ada pasangan yang bertahun menunggu, namun masih tidak kunjung tiba berita baik itu. Anak merupakan satu ujian daripada ujian-ujian yang lain. Begitu yang Allah nyatakan menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu hanyalah ujian, di sisi Allah jualah pahala yang besar.” (Surah al-Taghabun 64: 15) Justeru, sekalipun anak kita; OKU atau tidak, tetap ibu bapa akan diuji. Maka yang berjaya ialah mereka yang bersabar. Selamat membaca wahai ibu bapa. Moga Solusi kali ini menjadi wadah muhasabah diri sepanjang mendidik anak istimewa kalian.

Isu-isu bulan ini

Ujian Anak Itu Pelbagai

Anak normal juga tidak kurang hebat ujiannya. Tiada sesiapa mengetahui apa-apa yang akan terjadi pada masa hadapan. Berapa ramai anak yang dibesarkan normal namun akhirnya menjadi musibah buat keluarganya. Allah s.w.t. berfirman, maksudnya,“ Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya ada antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang akan menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka.”(Surah al-Taghabun 64: 14)

Tuah Anak Istimewa

Inilah rezeki yang selama ini tidak dimengerti. Rezeki masa, rezeki kasih sayang yang tercurah, rezeki perhatian, rezeki kefahaman, rezeki pahala atas kesabaran, rezeki ilmu menerusi pembacaan dan pelbagai lagi yang mungkin tidak mampu terluah

Demi Kesihatan Ibu dan Anak

Sudah banyak peristiwa yang menyayat hati seperti kes kelahiran yang tidak selamat berlaku. Begitu juga kes perdarahan sehingga membawa maut. Antara halangan yang dihadapi oleh para doktor dan jururawat dalam mengendalikan kes sebegini adalah apabila para ibu tidak menghiraukan nasihat serta prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak hospital

Segalanya Kurnia dan Takdir

Apakah yang kurang daripada seseorang sehingga kehidupannya dianggap tidak normal dan apakah pula yang lebih sehingga dia dianggap sebaliknya