Apabila Islam Disisip Liberal

Nombor Isu:

122

Tarikh Terbit:

Dec, 2018

Jumlah Muka Surat:

110

Harga:

RM10.00

Sinopsis

Seronok rasanya apabila memandu kereta baharu. Walaupun orang lain mungkin tidak perasan itu kereta baharu, masih berbau kedai, bebas habuk dan kerusi masih berbalut, namun perasaan kita bangga tak terkata. Hati berbungabunga, syukur tak terhingga.

Apa-apa sahaja dalam hidup, asalkan ia benda baharu, perasaan kita terasa lain. Teruja. Bersemangat. Jiwa membara. Oleh itu, pada saat hati kita mula terasa jauh dengan agama, jemu dan lesu, jangan ditukar wajah agama itu.

Pada saat ada suara-suara lain di luar lingkaran iman, Islam dan ihsan yang ingin menolak Islam jauh-jauh, jangan kita jadi lalang yang melentok ke kiri dan kanan mengikut arah bayu mereka. Turut mengiakan.

Jika ada saat kita terasa Islam itu makin buruk dek penganutnya, jangan pula Islam itu yang dipersalahkan. Andai sahaja kita sering melihat non-Muslim sering hebat serba segi, jangan juga menuding jari kepada Islam sebagai penyebab kita yang mundur.

Lagi-lagi agama yang terpelihara kesuciannya melalui halaman wahyu Ilahi dan kata-kata Nabi.

Di sini, kita perlu bezakan antara wahyu dan nafsu. Wahyu tidak boleh ditolak oleh nafsu. Nafsu yang sepatutnya tunduk patuh pada wahyu. Jadi, jangan kita menjadi pemadam yang memadamkan sebahagian suruhan agama. Sedangkan kita belum masuk sepenuhnya ke dalamnya.

Ya, kita semua lebih suka bebas tanpa dikongkong. Namun itu semua hanya relevan dalam hubungan sesama manusia. Bagi hubungan makhluk-Khalik pula, kita masih perlu dengar dan taat. Ini falsafah hubungan makhluk-Khalik yang perlu diaplikasi setiap saat.

Allah berfirman yang bermaksud: “Patutkah mereka mencari selain daripada agama Allah selepas itu? Padahal seluruh makhluk yang ada di langit dan bumi tunduk kepada-Nya sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa dan kepada-Nyalah mereka dikembalikan.”

(Surah Ali ‘Imran 3: 83)

Ya, tidak kiralah sama ada kita ini hidup bersyariat dalam keadaan rela dan reda atau terpaksa dan terseksa, asalkan kita masih mujahadah di laluan agama yang benar, itu sudah memadai. Moga akhirnya kita mampu merasai betapa tenang dan senang hidup berpandu suruhan Tuhan.

Isu-isu bulan ini

Dakwah di Amerika

Solat Tanpa Arak

Liberal yang kian Normal

Anti Hadis