Walau Kita Berlainan Agama

Nombor Isu:

127

Tarikh Terbit:

May, 2019

Jumlah Muka Surat:

110

Harga:

RM10.00

Sinopsis

Hidup dalam suasana bangsa yang berbilang kaum adalah perkara lumrah di dunia. Tiada mana-mana negara di dunia ini yang langsung tidak bergaul dengan bangsa lain. Hidup berbilang bangsa ini sebenarnya satu rahmat.

Sama juga apabila Allah tidak menjadikan semua manusia menganut satu agama yang sama. Allah berfirman: “Dan kalau Allah menghendaki, nescaya Dia jadikan kamu satu umat, tetapi Dia hendak menguji kamu terhadap pemberianNya kepadamu. Oleh itu, berlumbalah kamu melakukan kebaikan.” (Surah al-Ma’idah 5: 48)

Ya, Allah berkuasa menjadikan manusia ini hanya satu bangsa sahaja. Atau satu agama sahaja. Tidak perlu berbilang bahasa, bangsa dan agama. Tidak perlu berbeza sehingga kadangkala bertelingkah. Namun Allah kehendaki sebaliknya.

Itu pilihan Tuhan… Sama juga, Allah boleh menjadikan umat Islam tidak berpecah kepada pelbagai aliran dan mazhab. Namun situasinya tidak begitu. Umat Islam sendiri berpecah-pecah, tetapi semua ini masih dalam kerangka rahmat Allah. Itu juga pilihan Tuhan… Namun di sebalik perbezaan agama, bangsa, bahasa dan adat, Allah sebenarnya mahu menguji kita semua, di samping mahu kita saling berlumba melakukan kebaikan. Perbezaan agama antara kita dengan golongan bukan Islam bukanlah semata-mata untuk memberi mesej bahawa kita ini untung dan mereka rugi.

Allah ingin menguji, siapakah yang bijak berdepan dengan kepelbagaian dan siapa pula yang sebaliknya sehingga terlepas kendali? Siapakah yang emosional dan siapa pula yang rasional? Siapakah yang banyak mencela dan mengutuk, manakala siapa pula yang mengungkap kata-kata yang baik? Adakah kita menjalankan tugas berdakwah kepada golongan bukan Islam?

Manakala golongan bukan Islam pula diuji, adakah mereka ada inisiatif mencari kebenaran, seterusnya menerimanya.

Pokok pangkalnya, kita semua diuji. Namun antara perkara terpenting, walaupun kita berlainan agama, masih dalam kerangka berlumbalumba melakukan kebaikan… Ya, kita bukan sahaja berlumba sesama orang Islam, bahkan kita juga perlu proaktif berlumba-lumba juga dengan golongan bukan Islam dalam melakukan kebaikan.

 

HUSNA HASSAN

Isu-isu bulan ini

Titik Tengah Persangkaan

Perginya Mendiang Nenek

Ada apa dengan Israk?

Ketagihan Kebaikan