Buang Bayi Atas Dosa Apa Aku Dibuang?

Nombor Isu:

130

Tarikh Terbit:

Aug, 2019

Jumlah Muka Surat:

110

Harga:

RM10.00

Sinopsis

Pada zaman Nabi Musa, setiap bayi yang dilahirkan akan diperintahkan supaya dibunuh oleh Firaun sewaktu itu. Itu semua dilakukan dek percaya ramalan tukang ramal. Kononnya jika tidak berbuat demikian, tampuk kekuasaannya akan diambil alih oleh salah seorang daripada bayi lelaki tersebut setelah mereka dewasa kelak.

Pada zaman jahiliah, sekali lagi budaya membunuh anak-anak perempuan yang baru lahir berleluasa. Konon-kononnya ingin menjaga air muka, padahal mereka hakikatnya takut akan sesuatu yang tidak pasti.

Jika diperhatikan pada kedua-dua zaman ini, kita akan dapati keduaduanya melibatkan pembunuhan bayi baru lahir atau masih kecil. Mengikut istilah yang lebih tepat, ia dinamakan infantisid. Ya, ia jenayah membunuh bayi atau anak kecil.

Benar, buang bayi dan bunuh bayi tidak sama. Namun tindakan membuang bayi boleh menyebabkan risiko kematian. Sebab itulah bayi yang dibuang apabila ditemui, biasanya ditemui dalam keadaan masih hidup ataupun sudah meninggal dunia.

Bezanya kini, kes buang bayi dan “membunuh” bayi diganda dan digandingkan pula dengan dosa zina. Anak yang lahir kerana salah tingkah ibu bapa terpaksa menelan realiti pahit dibiarkan menghadap kata nista, persepsi yang selalunya negatif dan pandangan serong yang sering kali melumatkan hati si anak.

Aneh, bolehkah rasa malu, resah, hina dan segalanya dibuang dengan semudah membuang seorang bayi kecil yang masih lemah tidak berdaya? Sedangkan bayi yang baru lahir ibarat gelas yang getas, masih terlalu lemah.

Saat ada bayi dibuang, antara yang jarang kita beri perhatian ialah nasib dan masa depan bayi tersebut. Justeru, Solusi membawakan satu aspek kemanusiaan dalam jiwa kita semua untuk mempedulikan seketika nasib bayi yang dibuang, tanpa menafikan usaha pencegahan selewat-lewatnya sembilan bulan sebelum bayi itu lahir masih signifikan bagi membendung gejala buang bayi.

 

Husna Hassan

#BuangBayi

Isu-isu bulan ini

Buang anak di rumah sendiri

Tika anak perempuan yang ditanam ditanya

Tembok besar yang runtuh