Sampai Bila Kita Dihina? Bilakah Saat Untuk Berubah?

Nombor Isu:

133

Tarikh Terbit:

Nov, 2019

Jumlah Muka Surat:

110

Harga:

RM10.00

Sinopsis

Persaingan yang berlaku dengan kecanggihan gadget dan teknologi serta fasa kejatuhan akhbar dan majalah, Solusi dilihat terus bertahan dan kekal relevan. Solusi akan kekal relevan selama mana Solusi masih menjunjung Kalam Ilahi dan sabda Rasul. Ini dua sumber asasi suluhan dan rujukan kita umat Islam.

Solusi dilihat bersaing dengan dirinya sendiri memandangkan hampir tiada majalah arus perdana bertemakan Islam yang lain di pasaran. Pun begitu, Solusi mengambil langkah proaktif untuk senantiasa melaku-kan penambahbaikan dari segenap segi.

Sedar atau tidak, tahun 2020 bakal hadir dengan 1001 cabaran. Sebagai manusia yang mempunyai roh, jangan biarkan roh kita kontang daripada ilmu agama. Aspek lain seperti fizikal, intelek dan emosi mungkin terjaga. Namun bagaimana pula dengan roh yang sebenarnya perlu diberikan prioriti?

Justeru, Solusi membawakan tema “rejim hidup” sebagai kupasan isu fokus sepanjang tahun 2020 dan seterusnya. Rejim hidup merupakan kata kunci yang menggambarkan diri seorang Muslim yang dijajah oleh satu sistem yang begitu sempurna dan tuntas.

Sistem itu sebenarnya sudah ada di tangan umat Islam!

Namun sayang kalau sistem hidup itu hanya kekal termaktub dalam kitab samawi (al-Quran) dan kalam nabawi (hadis) sahaja. Rejim hidup ini perlu dihidupkan oleh setiap Muslim yang ada tekad dan nekad untuk berubah.

“Rejim hidup” menjadi komitmen untuk kita senantiasa berada di jalan yang lurus. Ia bermula dengan perubahan dengan usaha yang kecil, namun berterusan. Juga merupakan usaha untuk berubah secara kelompok. Anda tidak bersendirian, bahkan seramai kira-kira 100,000 pembaca Solusi lain yang turut sama ingin berubah.

Bukankah kita akan kuat apabila bersama? Lagi-lagi dalam kelompok yang besar. Bergerak ke arah satu rasa, satu kata dan satu laku.

Dulu, ada negara yang berharap agar negaranya “dijajah” oleh Islam. Lambang betapa Islam membawa rahmah. Dijajah pun tidak kisah. Bahkan rasa bertuah. Syukur melimpah-limpah.

Kini, biarkan sistem itu (Islam) pula menjajah diri dan keluarga kita. Memaksa kita akrab dengan ketaatan dan menyisihkan kita jauh daripada kemaksiatan. Hingga akhirnya Islam menjadi cara dan gaya hidup kita…

Jadi, izinkan diri dijajah “rejim hidup” yang dibawakan Solusi sepanjang tahun 2020.

Husna Hassan

#Solusi2020

#RejimHidup

Isu-isu bulan ini

Seleweng Tafsir al-Quran

Berjiwa Besar untuk Berjaya

Kempen Buy Muslim First (BMF)

Ikhlas Roh Ibadah vs Riyak Pembatal Pahala