Padah Lidah

Nombor Isu:

75

Tarikh Terbit:

Jan, 2015

Jumlah Muka Surat:

104

Harga:

RM10.00

Sinopsis

Menerusi hujah naqli, aqli dan pengalaman sejarah Islam telah diakui sebagai agama yang mempunyai segala ciri kecemerlangan sama ada pada prinsip, pendekatan mahupun pelaksanaan. Namun mengapakah umat Islam kini masih gagal mencapai kecemerlangan? Mari kita letakkan ini sebagai persoalan yang paling utama untuk dijawab menjelang tahun baharu 2015.

Apakah mungkin ini disebabkan berlakunya salah tafsiran terhadap Islam? Lalu salah faham itu menyebabkan salah tindakan. Kesannya, berlakulah realiti
yang sangat kontras, antara Islam dengan umat Islam. Islam agama kemajuan tetapi praktiknya umat Islam dalam kemunduran. Islam agama perpaduan, tetapi umat Islam asyik bercakaran. Islam agama kasih sayang, tetapi ada umat Islam yang rela menjadi pengganas.

Walaupun pahit, boleh dikatakan bahawa ‘Islam’ yang diperjuangkan oleh umat Islam kini bukanlah Islam dalam erti kata yang sebenar. Jika Islam sebenar, hasilnya tentulah keamanan, kedamaian dan kemakmuran seperti mana yang pernah direalisasikan oleh Rasulullah dan para sahabat. Sehingga sekarang, generasi al-Quran itu menjadi model yang dikagumi bukan sahaja oleh orang Islam bahkan oleh bukan Islam.

Kini ada berbagai-bagai tafsiran tentang Islam. Soalnya sekarang tafsiran siapa yang salah, dan siapa pula yang benar? Persoalan ini telah menimbulkan pertembungan yang hebat dalam kalangan orang Islam kerana masing-masing merasakan tafsiran mereka sahaja yang paling benar dan menyalahkan tafsiran pihak lain. Mereka lupa betapa rasional dan signifikannya kata-kata Imam Syafi‘i: “Pandangan aku betul, tetapi aku tidak menolak kemungkinan pandangan orang lain pun betul juga.”

Ironinya, jika semua pihak benar- benar ikhlas mencari kebenaran, maka sudah pasti Allah akan memperjelaskan banyak titik pertemuan berbanding titik perbezaan. Bahkan perbezaan itu sendiri tidak semestinya membawa penentangan. Keikhlasan sesungguhnya akan mengurangkan sengketa dalam mencari dan memperjuangkan kebenaran. Namun hal sebaliknya akan berlaku, sekiranya di sana terselit kepentingan diri dan fanatik puak.

Berbeza hanya pada soal ranting, tetapi tetap berasatu dalam soal pokok. tetapi sekarang perbezaan sudah menyeluruh, sudah sepenuh, merangkumi soal ranting dan pokok. Oleh itu, tidak hairan jika ada pihak yang menyifatkan bahawa pertembungan ini tidak akan dapat dipertemukan sampai bila-bila. Seperti mana kangit dan bumi yang tetap terpisah selama-lamanya, begitu?

Pertembungan mutakhir ini sebenarnya lebih dibauri dan dikaburi oleh faktor kepentingan berbanding kebenaran. Agama jadi alat, kepentingan dan kefanatikan menjadi matlamat. Lisan dan tulisan yang bernada perlecehan, sindiran, ejekan telah dilontarkan kononnya untuk membela kebenaran.

Agaknya kita sampai terlupa, bagaimana Rasulullah dan para sahabat mendepani kejahilan dan kedegilan kafir musyrikin. Masing-masing mendakwa semuanya ‘kerana Allah’, tetapi mengapa tindakan mereka telah menyebabkan hilangnya sifat rasional, kasih-sayang dan adab yang menjadi perhiasan dan keindahan agama Allah ini.

Selagi di sini ada hujah, di sana ada hujah, maka tidak sewajarnya kita bertelagah. Mari kita alihkan 'medan pertempuran' tanpa adab ini kepada 'medan perlumbaan' untuk amal yang lebih beradab. Jika ada yang tidak jemu berseteru, kita juga tidak akan jemu untuk terus berseru, marilah bersatu.

 

Isu-isu bulan ini

Biarlah Lidah Membawa Kita ke Syurga

Rasulullah s.a.w. pernah mengingatkan kita: “Boleh jadi seorang hamba menuturkan satu kata-kata yang diredai Allah yang menurutnya tiada apa- apa, lalu dengan itu Allah mengangkatnya berdarjat-darjat. Dan boleh jadi seorang hamba menuturkan satu kata-kata yang dimurkai Allah yang menurutnya tiada apa- apa namun dengan itu Allah humbankannya ke neraka!” (Riwayat al-Bukhari)
Mari kita sentiasa memohon taufik Allah agar lidah sentiasa lurus atas jalan menuju syurga.

Agungkan Allah Hatta Dalam Kata-Kata

Kehidupan makin indah dek banyaknya kejayaan yang menggembirakan. Alhamdulillah kita menjadi orang yang boleh dikira berharta, hidup senang, bergelar, berjawatan dan berkerjaya bagus, disukai, dipuji dan dihormati orang, dan memiliki keluarga penyayang dan harmoni. Semua pencapaian ini lazimnya berkait rapat dengan usaha diri. Lalu kita merasakan yang memang kita berhak atas semua ini.

Jangan Ada Dusta Antara Kita

Saya bekerja sebagai tukang sapu.” demikian pengakuan jujur rang tukang sapu. Apa salahnya pengakuan itu? Malangnya ada sesetengah orang malu dengan pekerjaannya dan sanggup berdusta dengan calon isteri dengan mengatakan dia berjawatan tinggi, berkereta mewah dan menghuni rumah yang besar, semata-mata untuk memikat hati bakal pasangan.
Hakikatnya kejujuran perlu dimulakan dari awal perkenalan dan dipertahankan hingga ke akhir hayat. Jangan sesekali mula berdusta. Memberitahu keadaan diri yang sebenar tanpa berlawanan realiti ialah pendekatan terbaik dan dekat dengan kebenaran.

Mungkin Kita Hairan Sebagaimana Muaz Bin Jabal?

Terlepas cakap sahajapun. Bergurau terlebih sedikit sahaja. Banyak ketika yang diucapkan bukan dengan niatpun. Masakanlah dengan itu boleh menyebabkan seseorang terhumban ke neraka? Mari ikuti pengalaman Muaz bin Jabal. “Aku pernah bersama Nabi dalam sebuah musafir. Pada suatu hari aku berada dekat dengan Baginda. Pada saat itu kamu sedang berjalan. Lalu aku bertanya: