Biar Mata Membawa Ke Syurga

Nombor Isu:

77

Tarikh Terbit:

Mar, 2015

Jumlah Muka Surat:

104

Harga:

RM10.00

Sinopsis

Pandangan akan menentukan perasaan dan keadaan hati. Daripada mata jatuh ke hati. Daripada hati lahirnya lisan dan tindakan. ‘Kesihatan’ mata perlu sentiasa dijaga agar tidak dirosakkan oleh virus- virus dosa.

Mata dan hati saling berkaitan. Hati ialah raja dalam kerajaan diri. Manakala mata umpama utusan yang bertugas sebagai ‘penyampai maklumat’ yang sangat dipercayai oleh raja. Jika maklumat yang disampaikan baik, maka baiklah hati. Apabila hati baik, seluruh anggota dan pancaindera akan menjadi baik. Begitulah sebaliknya.

Oleh sebab mata sangat mempengaruhi hati, usaha ke arah menjadi manusia yang lebih baik mesti bermula dengan menjaga mata. Kemudiannya akan terjagalah hati. Jangan sekali-kali membawa ‘sampah’ dosa ke dalam hati melalui pandangan-pandangan jahat dan liar.

Bayangkan betapa seriusnya Rasulullah menjaga pandangan dan pandangan sahabat Baginda. Ibn Abbas mengisahkan: “Fadhl pernah membonceng Rasulullah. Kemudian dia terlihat seorang wanita. Lantas segera Nabi memalingkan wajah Fadhl ke arah yang lain.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menjaga pandangan adalah dengan menahan mata daripada memandang sesuatu yang diharamkan Allah. Allah berfirman: “Allah mengetahui peng- khianatan pandangan seseorang, serta mengetahui akan apa yang tersembunyi dalam hati.” (Al-Ghafir 40: 19)

Termasuk dalam pandangan yang diharamkan ialah zina mata. Zina mata termasuk perbuatan menghampiri zina. Mukadimah zina ini sangat berbahaya kerana itulah punca zina yang sebenar. Pandangan mata menjadi permulaan zina tangan, kaki, hati dan kemaluan.

Rasulullah bersabda kepada Sayidina Ali: “Wahai Ali, janganlah engkau ikuti pandangan pada pandangan berikutnya. Kerana bagimu hanya pandangan pertama, tidak
yang lain.” (Riwayat Abu Dawud)

Pandangan pertama yang selalunya berlaku secara tiba-tiba tidaklah menjadi satu kesalahan kerana berlaku tanpa disengajakan. Pandangan ini terjadi tanpa niat. Jadi tidak menjadi kesalahan
atau dosa. Cuma, jagalah pandangan agar jangan diulang kali kedua. Justeru, Rasulullah memerintahkan Sayidina Ali agar segera memalingkan pandangan dan tidak memandang lama.

Untuk menjaga mata, pandanglah yang baik-baik. Siapa yang memandang yang baik-baik, akan mendapat kebaikan dan menjadi orang yang baik. Orang beriman melihat alam ciptaan Allah untuk merasakan kebesaran Allah.

Menjaga pandangan akan memberi banyak manfaat dan menghindarkan daripada banyak mudarat. Dosa dan pahala ‘tercipta’ daripada pandangan mata. Oleh itu, sudah menjadi tugas utama orang beriman untuk menjaga pandangannya.

Demikianlah, banyak kejahatan manusia berpunca daripada kejahatan hati akibat tidak menjaga mata. Dunia moden menawarkan banyak pilihan tetapi sayangnya manusia tidak punya keupayaan untuk memilih yang baik kerana tidak terdidik untuk mengawal mata. Akibatnya, lahirlah kejahatan yang begitu meluas dalam kehidupan hanya kerana kegagalan mengawal pandangan. Kawallah pandangan, insya-Allah akan terkawallah kehidupan.

Pahrol Mohamad Juoi

Isu-isu bulan ini

Kawal Pandangan, Terkawallah Kehidupan

Mata ialah jendela hati, kita perlu menjaga mata. hal ini kerana apa-apa yang masuk melalui mata akan memberi kesan yang mendalam pada hati. justeru, pernah dipesankan oleh para hukama, jangan diharapkan kesucian hati daripada orang yang tidak menjaga matanya. sayidina umar juga berpesan, “siapa yang menjaga mata akan diberi kemantapan jiwa.”

Ini pon Jaga Pandangan

Alhamdulillah jika kita sudah membudayakan menjaga pandangan daripada melihat perkara-perkara yang tidak senonoh. Mari kita sempurnakan usaha murnin ini dengan beberapa tindakan lagi. Sekurang-kurangnya ada empat perkara yang perlu kita tahan pandangan daripada melihatnya. 

Nikmatnya Mata, Nikmat Lagi Menjaganya

Sungguh allah maha pemurah. tidak pernah allah larang sesuatu melainkan dia janjikan habuan buat kita yang patuh. Walhal kita hamba. hamba hanya menurut perintah tanpa mengharapkan upah. asalkan tuannya suka, itulah segala-galanya.

Perempuan pon Kena Jaga Pandangan

Jarang ayat allah yang memperincikan suatu perintah-nya untuk lelaki dan wanita secara terpisah. pensyariatan solat, puasa, zakat dan hajipun dengan ayat yang sama. Tetapi tidak begitu untuk arahan menjaga pandangan.