Memandu Dari Hati

Nombor Isu:

79

Tarikh Terbit:

May, 2015

Jumlah Muka Surat:

104

Harga:

RM10.00

Sinopsis

Ada dua modal yang sangat berharga dalam kehidupan kita. Pertama, umur. Kedua, kesihatan. Dua modal ini sangat penting untuk mendapat keredaan Allah di dunia, agar kita dilimpahi rahmat-Nya dan dimasukkan ke dalam syurga kelak. Bagi yang taat, umur ialah bekalan untuk menambah ketaatan. Manakala bagi yang derhaka, umur ialah modal untuk bertaubat dan kembali kepada Allah buat mendapat keampunan-Nya.

Namun, umur tanpa kesihatan tidak bermakna juga. Lantaran beribadat memerlukan tenaga. Jika sakit, ketaatan tidak akan dapat dilaksanakan dengan optimum. Kesakitan boleh menghalang pelaksanaan ibadah, sama ada yang berbentuk habluminalllah (hubungan dengan Allah) atau habluminannas (hubungan dengan manusia). Mungkin amal yang berbentuk fardu ain masih boleh dipertahankan, tetapi apabila sakit amalan berbentuk fardu kifayah semakin sukar untuk dilaksanakan.

Dua modal inilah yang kita ‘pertaruhkan’ apabila berada di atas jalan raya. Setiap kali berada di jalan raya dua modal inilah yang berada dalam risiko, sama ada kita sebagai pemandu atau penumpang di dalam sebuah kenderaan. Berapa ramaikah orang Islam yang “habis” usianya di jalan raya? Bukan sahaja yang sudah berusia, bahkan yang masih muda pun ramai yang terkorban di jalan raya.

Begitu juga berapa ramai yang umat Islam yang hilang kualiti kesihatan fizikalnya apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya. Tidak terkorban nyawa, tetapi ‘terkorban’ kaki, tangan dan lain-lain anggota fizikal yang menjejaskan keupayaan dan potensinya untuk beribadah dan berjihad (dalam erti kata yang luas), yakni jalan untuk umat ini membina tamadun rohani dan material.

‘Pengorbanan’ nyawa yang sia-sia akibat kecuaian, kemarahan dan kebera- nian yang tidak kena pada tempat dan sebabnya di jalan raya mesti dihentikan. Biarlah nyawa dan kesihatan yang sangat berharga itu ‘dikorbankan’ di tempat yang benar, betul dan baik. Manusia mesti tahu untuk apa dia mati, barulah hidupnya akan memberi manfaat. Janganlah hendaknya generasi harapan
agama ini ‘mati katak’ sebagai mat rempit, pemandu laju dan pembuli jalan raya. 

Usia dan kesihatan ialah amanah Allah. Allah kurnia- kan kedua-duanya bukan sia-sia tetapi untuk maksud yang sangat besar dan berguna. Kedua-duanya ialah aset yang perlu dilaburkan untuk melak- sanakan tugas sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi. Di bahu umat Islam terpikul satu misi untuk menyelamatkan seluruh manusia dan dunia daripada kehancuran dan malapetaka. Islam itu selamat dan menyelamatkan.

Soalnya, bagaimanakah kita mampu menyelamatkan jika diri sendiri belum selamat? Mengapa ada dalam kalangan kita yang sanggup mensia-siakan usia dan kesihatan tubuh badan dengan tidak berhati-hati ketika memandu di jalan raya? Jika sudah ditakdirkan mati di jalan raya apa boleh buat, kerana itu telah tersurat. Tetapi kita dituntut malah diwajibkan untuk menjaga keselamatan nyawa bahkan haram hukumnya jika sengaja menjatuhkan diri kita ke dalam kebinasaan.

Marilah kita menjadi orang yang selamat dan menyelamatkan dengan memandu dari hati yang tenang apabila berada di jalan raya. Hati tenang apabila wujud kasih sayang dalam diri. Dan apabila ditelusuri dengan teliti, kasih sayang kepada manusia akarnya tidak lain iman kepada Allah. Justeru, memandulah dari hati, memandulah dengan iman, ingatlah Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang!

Pahrol Mohamad Juoi

 

Isu-isu bulan ini

Memandu Dengan Hati

Demi keselamatan diri ketika berada di atas jalan raya, sering kali dipesankan agar berhati-hati apabila memandu. Kita sering mendengar pesan ini. Tetapi apakah yang dimaksudkan dengan memandu dari hati? Apa perbezaannya antara pesan ‘berhati-hati apabila memandu’ dengan ‘memandu dari hati?’ Insya-Allah, persoalan inilah yang akan dikongsi bersama pembaca kali ini.

Itu Bukan Pemandu Mukmin

Pelbagai ragam pemandu di jalan raya. Ada yang menyakitkan hati, tidak kurang juga yang menghiburkan. Bahkan terdapat beberapa tabiat pemanduan tertentu dikaitkan dengan golongan tertentu.

Jom Musaffir Bersama Rasullah

Walaupun Rasullah sudah wafat, para sahabat tetap menghadirkan Baginda dalam Kehidupan. Bagaimana? Mereka melakukan persis yang pernah mereka melihat Rasulullah lakukan.

Uji Ahlak Memandu Muslim

Kajian di Barat mendedahkan bahawa kelakuan seseorang boleh berubah apabila memandu. Di rumah dia seorang yang baik dan bertimbang rasa, tetapi apabila memandu dia bertukar agresif, lekas marah dan sukar bertoleransi. Lebih memburukkan keadaan, ramai orang yang tidak perasan akan hal ini. Agresif di jalan raya boleh kita gambarkan sebagai kecenderungan untuk bermusuh dalam masa sama kurang prihatin terhadap orang lain. Mari kita kenal pasti tahap keagresifan masing-masing di jalan raya dengan melakukan soal selidik berikut.