Kun Anta (Jadilah Dirimu)

Nombor Isu:

85

Tarikh Terbit:

Nov, 2015

Jumlah Muka Surat:

112

Harga:

RM10.00

Sinopsis

Kita adalah tersendiri dalam kelas yang tersendiri. Setiap manusia ada keistimewaan yang tersendiri. Manusia yang dicipta di atas muka bumi ini dicipta untuk berjaya, bukannya untuk menempa kegagalan.

Tidak ada manusia yang Allah cipta untuk gagal. Setiap orang ada kecenderungan bakatnya tersendiri. Para cerdik pandai juga mengatakan Allah tidak menciptakan manusia bodoh, cuma dengan kebijaksanaan yang berbeza-beza. Justeru mari kita lihat diri secara terperinci. Meneroka di mana kelebihan kita kerana setiap orang ada kelebihan. Cabarannya ialah untuk mengenali kelebihan sendiri.

Teringat ketika di sekolah dahulu, saya tidak tahu pun yang saya mempunyai bakat menulis sehinggalah satu ketika, guru bahasa Malaysia berkata, “Kamu boleh menulis, tetapi kamu rasa rendah diri.” Apa yang guru itu lakukan? Setiap karangan bahasa Malaysia yang terbaik, beliau akan menyuruh karangan itu dibacakan di hadapan murid-murid.

Dengan membaca di hadapan, keyakinan diri saya bertambah. Pentingnya ada murabbi. Kelebihan kita perlu digilap atau diasah supaya bakat yang terpendam boleh digali. Apabila kita hendak menggali atau hendak menggilap bakat, kita terpaksa keluar dari zon yang selesa kepada zon yang mencabar.

Allah tidak letih menguji kita kerana Allah tidak pernah letih untuk menyayangi kita. Allah mahu kita keluarkan bakat terpendam yang ada. Ahli bijaksana pernah mengatakan, tidak ada manusia yang bodoh, hanya kebijaksanaan yang berbeza-beza. Namun ramai yang malas.

Jadi, jadilah diri kita supaya kita akan menjadi nombor satu dalam kelas kita tersendiri. Apabila kita menjadi nombor satu, maka kita akan menjadi terbaik dan terunik.  

Pahrol Mohamad Juoi

Isu-isu bulan ini

Jadilah Dirimu

Manusia tidak dicipta secara kebetulan. Allah menciptakan kita dengan tujuan. Allah bukan sahaja menciptakan kita dengan tujuan, bahkan dengan penuh perincian. Jika boleh diumpamakan sebagai sebuah mesin, diri kita ialah mesin yang sangat kompleks atau sistematik. Fizikal, akal, hati dan emosi kita disusun oleh Allah dalam keadaan yang sangat unik dan istimewa.

Dari Dunia Menuju Syurga

Orang beriman tiada masalah tercari-cari jawapan siapa dirinya dan erti hidupnya. Pada kita, hidup di dunia hidup ini tidak lain hanyalah sebuah pengembaraan pulang kembali syurga. Cuma acap kali dunia itu mempersona menyebabkan kita berehat panjang bahkan ada yang terlupa. Sebab itu Rasullah mengingatkan: "Jadillah kamu di dunia ini bak orang perantau atau orang yang melintas sahaja." (Riwayat Bukhari). Selagi kita ingat syurga, kita tidak akan sesat di dunia.

Muslim Mana Mungkin Keliru

Kalau berbincang tentang motivasi diri, orang Baratlah jagoannya. Begitu banyak buku bantu diri (self-help) Barat yang menjadi rujukan kita semua. Pelbagai ungkapan inspirasi mereka yang kita ambil dan manfaatkan. “Be yourself” antara kata keramat yang paling masyhur mereka. Namun awas, jangan sampai terbawa-bawa menyamakan diri kita dengan mereka.

Atas Semangat Fardu Kifayah

Apa sahaja pekerjaan yang kita lakukan, niatkanlah demi melaksanakan fardu kifayah. Fardu kifayah bukannya soal ibadah khusus sahaja. Kalau dirujuk kitab fiqah silam, para ulama menggariskan bahawa pertukangan, pembuatan dan pertanian adalah fardu kifayah.