Merindui Khutbah Nabi

Nombor Isu:

91

Tarikh Terbit:

May, 2016

Jumlah Muka Surat:

104

Harga:

RM10.00

Sinopsis

Suatu hari Ammar bin Yasir berkhutbah. Khutbahnya ringkas sahaja namun jelas dan bernas. Semasa dia turun dari mimbar, ada orang berkata kepadanya: " Wahai Abu Yaqzan, Tuan berkhutbah enagn bernas namun ringkas sangat. Kalaulah tuan panjangkan sedikit lagi." (Riwayat Muslim)

Tidak puas mendengar khutbah Jumaat! Adakah situasi ini wujud pada hari ini? Ya, mungkin ada, tetapi bak gerhana matahari. Jarang-jarang sekali.

Sebaliknya, khutbah Jumaat masa kini lebih kepada menghuraikan persoalan apa dengan input-input yang sedia diketahui dan boleh diperoleh daripada sumber-sumber lain. Nadanya lebih kepada "leteran" dan "keluhan". Isinya hanya memperincikan apa yang sepatutnya atau apa tidak sepatutnya berlaku. Membosankan!

Ibn Taimiyah pernah mengingatkan: "Tidak cukup khutbah hanya sekadar menyebut tentang kecelaan dunia dan mengingati mati, kerana sudah namanya khutbah mestilah sesuatu yang menggerakkan hati dan membangkitkan jiwa melakukan kebaikan."

Tiada guna menuding salah siapa, "menghidupkan" kembali khutbah Jumaat tanggungjawab kita semua. Kerana "selagi umat masih tidur semasa khutbah Jumaat, selagi itulah jiwa dan fikiran umat akan terus tidur dalam kehidupan."

Jangan pula berkata Muslimat tiada kaitan. Siapa penaja pertama mimbar khutbah Nabi, jika bukan seorang Muslimah?

Kita yakin masa depan Islam cerah. Umat Islam akan kembali gagah. Syaratnya hendaklah kita semua menjadi asbab peraih nasrullah. Semoga akan tiba saatnya kita boleh berkata: “Alhamdulillah, khutbah Jumaat kembali memikat!"

Isu-isu bulan ini

Bangkitan Umat Dengan Khutbah Jumaat

Mengikut kajian 70% keberkesanan khutbah bergantung kepada kewibawaan khatib yang menyampaikannya. Manakala 30% adalah pada isi khutbahnya. Betapa keberkesanan khutbah sangat berkait rapat dengan diri khatib. Sama ada berkaitan faktor dalaman diri khatib yang melibatkan ketakwaan, keikhlasan, akhlak dan kejujuran yang ada pada dirinya. Mahupun faktur kemahiran menggunakan perkataan, nada suara dan bahasa badan.

Siapa Kata Jumaat Tiada Kaitan dengan Muslimat

Benar Muslimat tidak disunatkan pergi solat Jumaat. Bagaimanapun itu tidak bermakna Jumaat dengan khutbah dan solatnya tiada kaitan dengan Muslimah. Lalu setiap pagi jumaat, perkara pertama yang difikirkannya; kedai mana pula hendak dituju semasa rehat solat jumaat? Sebaliknya solat Jumaat ialah syiar Islam yang mesti turut dirasakan besar dalam hati seorang Muslimat.

Bukan masalah pada Khutbah Berteks

Khutbah Jumaat membosankan! Semua orang merasai hal ini. Hatta khatib di mimbar juga. Mungkin yang berbeza, kepada siapa atau apa kita tudingkan jari. Banyak pihak melihat cara berkhutbah dengan melihat teks punca kebosanan ini. Mengapa tidak berkhutbah tanpa teks, spontan dan terus daripada hati sahaja? Sebentar. Allah mendidik kita tidak gopoh mencari salah. Sebaliknya cari dulu letak duduknya masalah. Jika tidak, kita akan dibelenggu rasa bersalah sampai ke sudah.

Nostalgia Khutbah Nabi

Jika sudah cinta, sekecil-kecil perkara tentang orang yang dicintai pun kita teruja hendak tahu. Bagaimana ya Nabi berkhutbah? Dan mengetahui cara Nabi berkhutbah bukan perkara trivia atau suka-suka. Dengan mengetahuinya membolehkan kita melaksanakan ibadah ini dengan sebaik-baiknya. Sama ada kita sebagai penyampai mahupun sebagai jemaah yang mendengar khutbah.

Review/Pertanyaan Majalah