Nikmat Beriman Dengan Malaikat

Nombor Isu:

93

Tarikh Terbit:

Jul, 2016

Jumlah Muka Surat:

104

Harga:

RM10.00

Sinopsis

Malaikat dan syaitan sentiasa berada di sisi manusia sama ada untuk membisikkan kepada hati ilham kebaikan (bisikan malaikat) atau waswas kejahatan (godaan syaitan). Malaikat dan syaitan sering bersaing untuk mempengaruhi hati yang menjadi "raja" dalam kerajaan diri.

Justeru, dalam hati sentiasa ada dua bisikan. Bisikan malaikat dan waswas syaitan. Yang mana satukah antara dua bisikan ini akan diikuti manusia? Semuanya bergantung pada keadaan hati.

Bagi setiap manusia ada malaikat yang silih berganti menjaganya siang dan malam hari. Menjaganya daripada segala keburukan dan musibah. Ada pula yang bergantian pada siang dan malam untuk menulis perbuatan seseorang, baik perbuatan baik atau buruk.

Bagaimana rasanya jika kita diawasi oleh CCTV setiap masa dalam kehidupan? Kalau perkataan, "ada CCTV sedang merakam" pun sudah menimbulkan rasa takut untuk melakukan kejahatan, apatah lagi "CCTV" Allah, yakni para malaikat- Nya yang sentiasa mengawasi.

Selain itu kita akan merasai setiap kebaikan akan dicatat oleh malaikat yang berada di sebelah kanan. Setiap sesuatu ada "markah". Maka hasil kesedaran ini sikap berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan dan kebajikan akan meningkat. Kesedaran bahawa markah kita sentiasa dicatat menyebabkan kita akan memanfaatkan masa, tenaga dan apa sahaja sumber yang ada untuk mengaut pahala.

Memang, kewujudan para malaikat tidak ketara tetapi tetap dapat dirasai hati orang beriman. Mereka bukanhanya merasai kewujudannya, malah seolah-olah melihat (dengan mata hati) para malaikat sedang sibuk menjalankan peranan masing-masing dalam kehidupan manusia!

Isu-isu bulan ini

Dampingilah Kaki Masjid Kerana Mereka Orang Masjid

“dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan allah semata-mata. dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia. dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami dalam al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran.” (Al-Kahfi 18: 28)

Begini Jika Beriman Dengan Malaikat

Dalam masyarakat Melayu, kebaikan sering dikaitkan dengan malaikat. Kita sering mendengar orang berkata, “dia baik macam malaikat.” Manakala, kejahatan sering dikaitkan dengan syaitan. "Dia jahat betul macam syaitan."  Hakikatnya, menurut Islam memang begitulah. Kebaikan sentiasa ada apabila malaikat mendampingi manusia. Sebaliknya kejahatan berleluasa pabila syaitan mengemudi hidup manusia.

10 Golongan Didoakan Malaikat

Meneliti ayat-ayat Allah dan sabda-sabda Baginda tentang malaikat, kita akan perasan satu ciri malaikat yang begitu kerap ditekankan; malaikat berdoa! Fakta ini besar maknanya pada kita, orang beriman. Malaikat hamba yang paling dekat dengan Allah dan bebas dosa. Tentu sekali doa mereka bernilai tinggi. Maka antara tuntutan rukun iman kedua ini ialah meyakini bahawa malaikat suka mendoakan manusia. 

Setidak-tidaknya Satu Perangai Malaikat ini Kita Tiru

Malaikat segera melaksanakan setiap perintah Allah. Mungkin sikap ini agak sukar manusia tiru. Malaikat tidak pernah bermaksiat kepada Allah walaupun sekali. Ini lagi mustahil untuk ditiru manusia. Dan malaikat suka mendoakan orang lain. Adakah perangai ini juga sukar dan mustahil untuk ditiru?