Masuk Syurga Pun Menyesal

Nombor Isu:

94

Tarikh Terbit:

Aug, 2016

Jumlah Muka Surat:

104

Harga:

RM10.00

Sinopsis

Syurga itu bukan sama sahaja darjat dan tingkatnya. Sebaliknya, terbahagi kepada beberapa lapisan. Setiap tingkat atau lapisan yang lebih tinggi mempunyai keistimewaan dan nikmat yang berbeza berbanding yang lebih rendah daripadanya.

Allah bukan sahaja membalas kebaikan dengan ganjaran, kejahatan dengan hukuman, malah siapa yang melakukan kebaikan yang lebih baik, berhak mendapat ganjaran yang lebih baik, dan siapa yang lebih jahat berhak pula mendapat hukuman yang lebih berat.

Dalam melakukan kebaikan dan kebajikan jangan ada sikap cukup-cukup makan atau berpada-pada. Sesuai dengan cita-cita untuk masuk syurga yang tertinggi (Firdaus). Jangan ada orang yang berani berkata, “tidak mengapa masuk ke syurga paling akhir, asalkan masuk juga akhirnya.” Ini pandangan yang salah dan berbahaya.

Sekiranya seseorang masuk ke syurga paling akhir, bererti dia sebelum itu duduk di mana? Di akhirat cuma ada dua buah tempat; syurga atau neraka. Bermakna seseorang yang masuk ke syurga paling akhir, akan masuk ke neraka terlebih dahulu!

Antara sikap orang berjaya ialah bercita-cita tinggi. Sekalipun pandai, berbakat dan punya pelbagai kelebihan, kita akan berada di tahap yang rendah jika cita-cita kita rendah. Justeru ahli bijaksana sering berpesan, gantunglah cita-citamu setinggi langit.

Maka begitulah sewajarnya buat mereka yang ingin masuk ke syurga. Mesti bercita-cita tinggi. Beramallah dengan lebih ikhlas, gigih, berkualiti dengan berbekalkan kata-kata: “Gantunglah cita-citamu setinggi syurga, bukan sebarang syurga, tetapi syurga yang paling tinggi, syurga Firdaus.”

Isu-isu bulan ini

Selamat Datang Ke Syurga

12 tarikan utama yang patut anda ketahui sebelum ke sana. Ada orang tidak suka menjangka. Lebih suka pergi terus dan dikejutkan. Baru thrill. Tetapi percayalah, jangkalah dengan imaginasi anda yang paling liar dan kreatif sekalipun, anda tetap akan terkejut. Tidak terjangka. Tidak terjangkau dek imaginasi.

Di Syurga Pun Ada Kasta-Kasta

"Ayah, mengapa kita duduk di rumah flat? Kawan-kawan kakak ramai yang duduk di kawasan perumahan itu. Taman permainan mereka cantik. Rumah mereka dua tingkat. Tidak perlu naik tangga tinggi-tinggi bila lif rosak." Si ayah sebak. "Tak apalah kakak, di syurga nanti kita akan dapat rumah yang sama besar dengan mereka." Dalam hati si ayah memujuk diri sendiri pula: "Tak apalah, dunia ini memang tidak adil. Ada orang kaya, ada orang miskin. Ada orang VIP, ada orang biasa-biasa. Nanti di syurga semua sama!"

 

Gantung Cita-Citamu Setinggi Firdaus!

Banyak sekali ayat al-Quran dan hadis yang menerangkan tentang balasan pahala yang banyak kepada manusia yang melakukan kebaikan. Itu adalah satu daripada kaedah Allah dan Rasul-Nya untuk menggalakkan kita beramal.

Kita Ahli Syurga Yang Mana?

Kita semua ahli syurga, insya-Allah. Soalnya kita ahli syurga yang mana? Bukan tentang syurga yang mana, tetapi tentang kelompok ahli syurga yang mana. Secara umum kita boleh katakan ada tiga kelompok ahli syurga sebagaimana berikut: